KUALA TERENGGANU, 1 JUN – Pasukan berbasikal bertaraf dunia, Terengganu Polygon Cycling Team (TSG) optimis mampu mengekalkan gelaran nombor satu Asia dalam carta Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI).
Ketua Pegawai Eksekutif TSG, Che Ku Mohd Izmuddin Che Ku Mahmood berkata pasukannya mempunyai masa sekitar empat bulan untuk mengumpul mata sebelum kalendar UCI musim ini ditutup pada Oktober depan.
Beliau berkata walaupun pasukannya berada di tangga keempat terbaik Asia ketika ini, ia tidak melemahkan sema-ngat pelumba untuk terus bangkit dan mengejar perbezaan 70 mata dengan pasukan Thailand yang menduduki takhta carta.
“Kita tidak panik kerana masih ada banyak perlumbaan luar dan dalam negara yang akan disertai dalam masa terdekat dan sehingga hujung musim.
“Untuk kejohanan dalam negara, kita masih ada Kejohanan Berbasikal Kebangsaan yang bakal berlangsung pada Julai dan perlumbaan berprestij 2.0, Le Tour de Langkawi (LtdL) yang dijangka 23 September depan,” katanya di sini.

Che Ku Mohd Izmuddin berkata untuk kejohanan terdekat, enam pelumba TSG akan berkampung selama seminggu di Jepun untuk menyertai perlumbaan bertaraf 2.2 UCI iaitu Tour De Kumano.
Katanya selain itu, lima pelumba lagi akan menggalas cabaran TSG di bumi Mauritius yang berlangsung dari 6 sehingga 11 Jun.
“Para pelumba yang akan ke Jepun ialah Aiman Mohd Zariff, Jesse Ewart, Nur Amirul Fakhruddin Mazuki, Jerden Meijers, Jambaljants Sainbayar dan Metkel Eyob.
“Ke Mauritius pula kita letakkan sandaran pada Shahmir Aiman Abd Halim, Anatoli Budiak, Zuladri Amin Zukurnain, Youcef Reguigui dan Shahrul Mat Amin,” katanya. – Bernama