KUALA TERENGGANU, 31 Jan – Pasukan bertaraf benua, Terengganu Inc TSG Cycling Team (TSG) yakin untuk mengekalkan status pasukan nombor satu Jelajah Asia Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI).
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ahmad Farhan Abdul Wahab berkata kehadiran barisan pelumba berpengalaman seperti pasangan adik beradik Mohd Zamri dan Mohd Hariff Salleh serta Nur Amirul Fakhruddin Mazuki menguatkan keyakinan itu.
Turut dikekalkan ialah pelumba import dari Rusia, Ovechkin Artem yang muncul sebagai pelumba terbaik (jersi kuning) pada Le Tour de Langkawi (LTdL) 2018.
“Sasaran lain termasuk mengekalkan jersi kuning yang dimenangi Ovechkin Artem atau dikenali sebagai ‘Ah Cong’ oleh peminat Malaysia.
“Selain ‘Ah Cong’, cabaran jersi kuning ini turut disandarkan ke atas pelumba import baharu dari Algeria, Youcef Reguigui yang pernah menyarung jersi itu pada LTdL 2015,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran dan memperkenalkan pelumba serta penaja pasukan Terengganu Inc TSG Cycling Team, di sini, malam semalam.
Seramai 15 pelumba bakal membawa cabaran TSG pada tahun ini termasuk Irwandie Lakasek, Muhammad Zulhilmie Afif Ahmad Zamri, Mohd Harrif Saleh, Nur Amirul Fakhruddin Mazuki, Mohd Nor Umardi Rosdi, Zuladri Amin Zulkarnain dan Mohd Shahrul Mat Amin.
Pelumba lain ialah Muhamad Afiq Huznie Othman, Orew William Peters Morey, Goh Choon Huat, Ovechkin Artem, Youcef Reguigui, Metkel Eyob Teweldeberhan, Maran Erdene Batmunkh dan Mohd Zamri Saleh sebagai kapten pasukan yang akan dilatih oleh Jeremy Jonathan Hunt.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Abdullah yang mewakili TSG menerima penajaan daripada 23 penaja bernilai RM8 juta.
Mengulas lanjut, Ahmad Farhan berkata pada musim ini, pasukan TSG juga dimantapkan daripada pelbagai sudut termasuk aspek pecutan dan pendakian bagi menghadapi jelajah berprestij Asia, LTdL yang dijadualkan Mac nanti.
“Bagi cabaran di zon pendakian, selain Ovechkin Artem, sandaran kita sudah tentulah pada pelumba baharu dari Algreria, Yuocef Reguigui dan kita juga ada dua pelumba Malaysia Mohd Shahrul dan Nur Amirul Fakhruddin yang tidak kurang hebat. – Bernama