Monday, May 12, 2025
25.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    TSG terima 19 tajaan bernilai RM9.3 juta

    KUALA TERENGGANU, 1 NOV – Pasukan berbasikal profesional bertaraf benua Terengganu Cycling Team (TSG) menerima 19 tajaan berjumlah RM9.3 juta bagi mengharungi musim baharu Jelajah Asia 2022.

    Pengarah Eksekutifnya Datuk Tengku FarokHussin Tengku Abdul Jalil berkata walaupun banyak industri sukan dunia terkesan ekoran pandemik COVID-19, TSG masih mampu mengekalkan momentum dan mengikat keyakinan penaja untuk terus menyokong aktiviti mereka.

    Ia diperkukuhkan lagi dengan kejayaan TSG meraih gelaran juara Jelajah Asia Berbasikal Antarabangsa (UCI) 2021 dan berada di kedudukan ke-42 daripada 212 pasukan dunia.

    “Walaupun bergelut dengan pelbagai kesukaran, TSG berjaya meraih kepercayaan 19 tajaan termasuk lima penaja baharu yang akan menyumbang dari segi wang tunai, perkhidmatan dan barangan.

    “Kami amat menghargai sokongan ini bagi meneruskan cabaran musim 2022 yang diyakini lebih cemerlang dan gemilang untuk pasukan,” katanya selepas merasmikan studio TSG di sini hari ini.

    Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif TSG Che Ku Izmuddin Che Ku Mahmood.

    Dalam perkembangan sama, Tengku Farok yang juga Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Terengganu berkata TSG juga sedang menjalankan perbincangan lanjut dengan syarikat penerbangan Turki, TurkishAirlines yang berminat menjadi sebahagian daripada penaja pihaknya.

    Jika kerjasama tersebut berjaya, ia bukan sahaja akan memberi manfaat kepada TSG, malah sektor pelancongan Terengganu khasnya dan Malaysia amnya.

    “Setakat ini perbincangan menunjukkan perkembangan positif. Mereka tertarik dengan kejayaan TSG sebagai pasukan terbaik Asia dan kami sedang cuba mendapatkan perjanjian menang-menang.

    “Selain itu TSG juga akan terus menjadikan Turki sebagai lokasi kem latihan di Eropah kerana bentuk muka buminya yang beraltitud tinggi dan sesuai untuk membina ketahanan dan kemahiran pelumba,” katanya.- Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda