Friday, September 27, 2024
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tsitsipas tersingkir awal di Terbuka Jepun

    TOKYO, 26 SEPT – Masalah yang membelenggu Stefanos Tsitsipas terus menghantuinya selepas pemain pilihan keempat dari Greece itu tersingkir pada pusingan pertama Terbuka Jepun dengan kekalahan 4-6, 6-1, 6-2 kepada pemain Amerika Syarikat (AS), Alex Michelsen, semalam.

    Tsitsipas, yang kini menduduki ranking ke-12 dunia, memenangi set pertama di Tokyo namun gagal mengekang lawannya yang berada di tangga ke-49, sekali gus tewas dalam masa 1 jam 48 minit.

    Dua kali finalis Grand Slam, Tsitsipas juga tersingkir pada pusingan pertama Terbuka AS bulan lalu dan baru-baru ini mengumumkan bahawa dia telah menamatkan kerjasama jangka panjang dengan bapanya, Apostolos, yang juga jurulatihnya.

    Selepas kekalahannya kepada pemain Australia, Thanasi Kokkinakis di Terbuka AS, Tsitsipas mengakui prestasinya semakin merosot, dengan menyatakan keletihan jangka panjang sebagai punca masalah yang dihadapinya.

    Bekas pemain nombor tiga dunia itu kini jatuh dari kedudukan 10 terbaik dan hanya memenangi dua gelaran sepanjang dua musim terakhir.

    Sementara itu, Michelsen mara ke pusingan kedua Terbuka Jepun bersama pemain Britain, Jack Draper, yang juga peserta separuh akhir Terbuka Amerika, selepas menewaskan pemain kelayakan dari Itali, Mattia Bellucci, 6-4, 6-2. – AFP

    Gambar AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda