Wednesday, March 5, 2025
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    TSMC akan labur AS$100 bilion di AS, bina kilang canggih

    WASHINGTON, 4 MAC – Syarikat gergasi pembuat cip Taiwan, Taiwan Semiconductor Manufacturing Co (TSMC) akan melabur sekurang-kurangnya AS$100 bilion di Amerika Syarikat (AS) untuk membina kilang pembuatan ‘canggih,’ kata Presiden Donald Trump semalam, mengumumkan janji kewangan terbaharu oleh sebuah syarikat swasta sejak beliau kembali ke pejabat.

    Pelaburan baharu TSMC itu adalah selain komitmen syarikat sekarang dan akan disalurkan untuk membina lima kemudahan fabrikasi canggih, kata Trump semasa acara Rumah Putih, diapit oleh Ketua Eksekutif TSMC, C.C. Wei.

    Beliau menambah kebanyakan pembia-yaan akan dilaburkan di negeri Arizona, AS, di mana TSMC – pembuat cip terbesar dunia – telah banyak melabur dan akan mewujudkan ‘beribu-ribu’ pekerjaan bergaji tinggi.

    TSMC telah lama menghadapi tuntutan untuk memindahkan lebih banyak pengeluarannya dari Taiwan, di tengah-tengah kebimbangan bahawa bekalan teknologi kritikal itu boleh terganggu dalam mana-mana konflik dengan Beijing.

    Syarikat itu berjanji semasa pentadbiran bekas presiden Joe Biden untuk melabur lebih daripada AS$65 bilion di tiga kilang di Arizona, salah satunya memulakan pengeluaran pada akhir 2024.

    Orang ramai berjalan di sebelah papan tanda TSMC di luar Muzium Inovasi syarikat di Hsinchu pada 21 November 2024. – AFP

    Trump baru-baru ini meningkatkan tekanan ke atas TSMC dan pengeluar cip lain dengan mempertimbangkan secara terbuka pengenalan tarif 25 peratus ke atas semua cip semikonduktor yang dibuat di luar AS.

    Taiwan akan mengkaji semula pelaburan itu ‘mengikut undang-undang’ dan memastikan ‘proses pembuatan paling maju akan kekal di Taiwan,’ kata pejabat Presiden Lai Ching-te.

    Pengumuman semalam membawa jumlah keseluruhan yang diperuntukkan oleh TSMC kepada kira-kira AS$165 bilion, kata Wei.

    “Kami akan menghasilkan banyak cip untuk menyokong kemajuan kecerdasan buatan, dan untuk menyokong kemajuan telefon pintar,” katanya.

    Pelaburan baharu itu akan membantu mengembangkan jejak firma AS untuk memasukkan ‘tiga loji fabrikasi baharu, dua kemudahan pembungkusan canggih dan pusat pasukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) utama,’ sementara menyokong 40,000 pekerjaan pembinaan dalam tempoh empat tahun akan datang, kata TSMC dalam satu kenyataan. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda