HSINCHU, TAIWAN, 6 JUN – Syarikat semikonduktor gergasi Taiwan, TSMC hari ini berkata bahawa pengeluaran mikrocip yang lebih kecil akan terus dilakukan di pulau itu, berharap industri itu akan mempunyai kesan penstabilan terhadap konflik geopolitik global.
Syarikat Pembuatan Semikonduktor Taiwan yang pelanggannya termasuk Apple dan Intel mengawal lebih separuh daripada pengeluaran wafer silikon dunia yang digunakan dalam pelbagai produk seperti telefon pintar, kereta dan peluru berpandu.
Beberapa tahun kebelakangan ini telah menyaksikan TSMC mengemudi perebutan geopolitik antara Amerika Syarikat (AS) dan China, dengan kedua-dua negara berdepan pelbagai isu termasuk teknologi, perdagangan dan Taiwan yang merupakan pangkalan pem-buatan utama semikonduktor dunia.
Kebimbangan telah meningkat sejak beberapa bulan kebelakangan ini mengenai masa depan industri semikonduktor yang merupakan nadi kepada ekonomi global jika Taiwan diceroboh oleh China, yang menganggap pulau tersebut sebagai wilayahnya sendiri.
“Saya boleh memberi jaminan kepada semua orang bahawa untuk tiga nanometer, dua nanometer (cip), kami akan mengeluarkan di sini di Taiwan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif TSMC, CC Wei hari ini semasa mesyuarat pemegang saham di bandar utara Hsinchu.
Cip tiga nanometer dan dua nanometer TSMC dijangka menjadi antara teknologi tercanggih di dunia untuk digunakan dalam peranti berprestasi tinggi apabila pasaran global beralih ke arah produk yang menggunakan kecerdasan buatan, seperti ChatGPT.
Wei juga berkata bahawa produk yang lebih kecil iaitu cip 1.4 nanometer akan dikeluarkan hampir sepenuhnya di Taiwan.
China telah meningkatkan tekanan ketenteraan dan politik ke atas Taiwan, membantah keras sebarang penglibatan diplomatik dengan pulau itu. – AFP
