Wednesday, March 26, 2025
22.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    TSMC umum kilang kedua di Jepun

    TAIPEI, 6 FEB – TSMC akan membina faundri kedua di Jepun, umum gergasi semikonduktor itu dan rakan kongsi tempatannya hari ini, beberapa minggu sebelum kilang pertama di negara itu dibuka secara rasmi.

    Syarikat Pembuatan Semikonduktor Taiwan – yang menganggap Apple dan Nvidia sebagai pelanggan – mengawal lebih separuh keluaran wafer silikon dunia, digunakan dalam segala-galanya daripada telefon pintar kepada kereta dan peluru berpandu.

    Hari ini, TSMC berkata dalam satu kenyataan yang dikeluarkan bersama Sony Semiconductor Solutions Corporation, DENSO dan Toyota bahawa kilang kedua itu ‘dijadualkan akan mula beroperasi menjelang akhir 2027’.

    “Bersama kilang pertama JASM, yang dijadualkan mula beroperasi pada 2024, pelaburan keseluruhan dalam JASM akan melebihi AS$20 bilion dengan sokongan padu daripada kerajaan Jepun,” kata kenyataan itu.

    Usaha sama JASM, atau Japan Advanced Semiconductor Manufacturing, ialah anak syarikat perkilangan milik majoriti TSMC di wilayah Kumamoto, di mana kedua-dua kilang akan ditempatkan.

    Pengerusi syarikat, Mark Liu berkata pada bulan lepas bahawa upacara pembukaan faundri pertama akan diadakan pada 24 Februari.

    Jumlah kapasiti pengeluaran di kedua-dua kilang dijangka mencecah lebih 100,000 wafer 12 inci sebulan. – AFP

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda