JAKARTA, Indonesia, 28 Sept – Gempa bumi kuat menggegarkan pulau Sulawesi hari ini dan mencetuskan tsunami yang menurut pegawai telah menghanyutkan rumah-rumah di dua buah bandar.
Indonesia telah mengumumkan amaran tsunami selepas gempa bumi kuat itu berlaku, yang berskala 7.5 magnitud, namun membatalkannya kira-kira setengah jam kemudian. Ia kemudian disusuli dengan gegaran kuat termasuk gegaran berukuran 6.7 magnitud.
Jurucakap agensi bencana, Sutopo Purwo Nugroho berkata dalam temu bual langsung di televisyen, yang tsunami telah melanda Palu, bandar wilayah tengah Sulawesi dan bandar kecil Donggala.
Menurutnya, rumah-rumah telah dihanyutkan dan beberapa buah keluarga dilaporkan hilang dengan komunikasi di kawasan tersebut juga terputus.
“Talian telekomunikasi dan kegelapan telah menghambat usaha untuk mendapatkan maklumat,” ujarnya. “Semua anggota yang berpotensi akan dikerahkan dan esok pagi kita akan menghantar helikopter-helikopter dan Hercules untuk memberikan bantuan di kawasan yang terjejas oleh tsunami.
Televisyen Indonesia menunjukkan video dalam telefon pintar mengenai ombak kuat yang membadai Palu dengan orang ramai menjerit dan bertempiaran lari dalam ketakutan. – AP