PARIS, 24 MEI – Pemain tenis Ukraine, Lesia Tsurenko (gambar-AP) berkata dia dan rakan senegaranya hanya akan kembali untuk menewaskan pesaing mereka dari Rusia dan Belarus ‘di mana-mana lapangan’ selepas dia menegur penganjur acara sukan kerana tidak mengambil langkah lebih tegas.
Pemain Rusia dan Belarus telah bersaing dalam kedua-dua jelajah ATP dan WTA di bawah bendera neutral sejak Vladimir Putin melancarkan pencerobohan Rusia ke Ukraine pada Februari 2022 dengan bantuan Belarus.
Tsurenko, 33, memberitahu AFP dalam satu temu bual bahawa dia mengalami tekanan besar ketika dia menunggu keputusan sama ada dia diundi menentang pemain Rusia atau Belarus dalam Terbuka Perancis yang bermula pada Ahad.
Walau bagaimanapun, dia juga menyuarakan pendirian yang teguh.
“Mesej saya untuk Terbuka Perancis adalah sama seperti apa yang saya katakan mengenai sukan lain. Kita hanya perlu pergi dan menewaskan mereka di mana sahaja,” katanya.
“Tidak ada sebab bagi ahli sukan Ukraine untuk menyerah. Apakah jenis mesej yang akan disampaikan?
“Dalam tenis, kami mencuba banyak perkara untuk melarang mereka dan organisasi tenis tidak mahu mendengar kami.
Tsurenko merasa kesal dengan kurangnya sokongan, walaupun secara peribadi, dia dan rakan-rakannya dari Ukraine telah menerima daripada pesaing Rusia dan Belarus walaupun beberapa “dahulunya adalah kawan baik.
“Hanya seorang individu yang bercakap dengan saya pada hari pertama peperangan,” katanya.
“Orang itu memberitahu saya dengan linangan air mata bahawa segala-galanya yang berlaku sangat mengerikan,” tambahnya. – AFP