Oleh Faris Yussof –
Baru-baru ini penulis ternampak satu video yang dimuat naik oleh seorang pempengaruh masakan yang menunjukkan cara-cara memasak hidangan jalanan Korea yang terkenal iaitu Ttoekbokki.
Disebabkan resipi yang dikongsikan sangat mudah, penulis pun mencuba memasak hidangan tersebut dan Alhamdulillah menjadi!
Jadi minggu ini penulis ingin mengongsikan cara-cara untuk memasak Ttoekbokki.
BAHAN-BAHAN
Untuk membuat Ttoekbokki, bahan utama yang diperlukan ialah kek beras, manakala bahan-bahan untuk membuat kuahnya ialah empat sudu serbuk cili, tiga sudu gula, dua sudu kicap masin, dua sudu sos tiram, dua sudu Gochujang, satu sudu minyak masak, serbuk lada hitam secukupnya.
Bahan-bahan lain yang diperlukan ialah tauhu, telur rebus, daun bawang kucai (dipotong sepanjang dua inci), bawang putih yang dicincang, sayur kubis dan garam.
CARA PENYEDIAAN
Pertama sekali, gaulkan bahan-bahan untuk membuat sos Ttoekbokki. Sekiranya awda sukakannya pedas, boleh tambah lebih banyak serbuk cili.
Kemudian panaskan air ke dalam kuali dan masukkan tauhu, daun bawang kucai, satu sudu gula, sedikit garam dan masukkan satu sudu bawang putih.
Selepas air mendidih, masukkan kek beras dan sos Ttoekbokki yang kita buat tadi dan kacau sehingga larut. Kita biarkan ia mendidih selama 10 hingga 15 minit sehingga kuahnya pekat.
Awda boleh tambahkan telur rebus, sayur kubis, keju atau sosej. Sesudah itu, hidangan boleh diangkat dan taburkan sedikit bijan sebagai hiasan. Mudah bukan? Selamat mencuba!
Bahan-bahan:
• Kek beras
• 4 sudu serbuk cili
• 3 sudu gula
• 2 sudu kicap masin
• 2 sudu sos tiram
• 2 sudu Gochujang
• 1 sudu minyak masak,
• Serbuk lada hitam secukupnya
• Daun bawang kucai
• Bawang putih yang dicincang
• Tauhu (pilihan)
• Telur rebus (pilihan)
• Sayur kubis (pilihan)
• Sosej (pilihan)
• Keju