Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 8 MEI – Jawatankuasa Keselamatan Negara (JKN) mengadakan Table-Top Exercise (TTX) Eksesais Perisai Kebangsaan (EPK) 05/2024-25 yang berlangsung di Dewan Bankuet, Mess Pegawai Polis, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), selama dua hari bermula 7 hingga 8 Mei.
Hadir selaku tetamu kehormat merasmikan Majlis Pembukaan TTX ialah Pemangku Setiausaha Tetap (Sekuriti dan Undang-Undang), Jabatan Perdana Menteri (JPM), Awang Zulhusam bin Haji Abd Samad.
Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Pemangku Pesuruhjaya Polis, Dato Seri Pahlawan Sulaiman bin Alidin selaku Pengarah Eksesais, timbalan-timbalan setiausaha tetap, ketua-ketua jabatan dan para peserta dari agensi-agensi berkepentingan.
Dato Seri Pahlawan Sulaiman bin Alidin dalam ucapan alu-aluannya menjelaskan tujuan eksesais itu diadakan adalah bagi memberi peluang latihan yang komprehensif bagi seluruh agensi keselamatan yang terlibat serta agensi-agensi berkepentingan yang lain dalam mengetengahkan serta mempraktikkan konsep pendekatan Whole of Nation.
Eksesais itu memfokuskan kepada koordinasi pelbagai agensi, menguji cuba dan mengesahkan prosedur serta melatih atau memastikan amalan terbaik di peringkat strategik, operasi dan taktikal akan dilaksanakan dalam menangani pelbagai ancaman-ancaman yang mungkin berlaku.
TTX seri kedua dijangka akan diadakan sebagai kesinambungan kepada acara berkenaan yang mana beberapa isu keselamatan akan diteliti kesesuaiannya untuk dijadikan sebagai senario-senario yang akan digunakan nanti.
