Wednesday, November 13, 2024
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tuah Adzmi sayu setiap kali dengar takbir raya

    Setiap kali mendengar takbir raya, hati penyanyi Tuah Adzmi akan terasa sayu mengenangkan sambutan Aidilfitri tanpa bapa tercinta.

    Walaupun sudah biasa menyambut raya bersama ibu selepas bapanya meninggal dunia ketika dia berusia enam tahun, kata Tuah, 24, kekosongan dalam keluarga itu masih terasa.

    “Sejak kecil lagi saya hidup tanpa bapa. Jadi sudah biasa menyambut hari raya tanpa seorang bapa.

    “Namun setiap kali malam raya dan mendengar takbir, hati akan mula rasa sayu. Ketika itulah membuatkan berfikir betapa sedih menyambut raya hanya berdua,” katanya kepada mStar.

    Dua tahun tidak dibenarkan melawat kubur akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Tuah berkata itu perkara pertama yang dilakukan pada Syawal ini.

    “Sebelum berpindah ke Bangi sekarang ini selalu sahaja kami ziarah ke kubur dan ia menjadi perkara wajib setiap kali raya.

    “Cuma sejak dua tahun lalu memang tidak berkesempatan. Bukan sahaja disebabkan PKP tetapi apabila sudah berpindah jauh kena rancang betul-betul masa yang sesuai untuk ke sana.

    “Jadi tahun ini aktiviti raya pertama kami adalah ziarah ke kubur,” ujarnya.

    Bercerita tentang persiapan raya, kata Tuah dia dan ibunya lebih tumpukan kepada penyediaan kuih-muih untuk menjamu tetamu yang datang. – Agensi

    Tuah Adzmi menyambut Aidilfitri selama 18 tahun tanpa bapa yang tercinta. – Agensi
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda