Friday, February 7, 2025
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tuah peserta Pertama

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 24 FEB – Tuah menyebelahi Dayangku Nor Faizurah binti Pengiran Haji Suffian apabila kunci kereta yang dipilihnya merupakan kunci bagi hadiah utama iaitu sebuah kereta Renault KWID Climber dalam Cabutan Akhir Promosi Cabutan Bertuah Renault yang berlangsung di Dewan Pameran Utama Maju Motors, Jalan Telanai, hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan penyampaian hadiah utama bagi promosi berkenaan ialah Pengerusi Maju Motors Sdn Bhd, Yang Amat Mulia Pengiran Ratna Wijaya Brigedier Jeneral (B) Pengiran Haji Hasnan bin Pengiran Ahmad.

    Dalam cabutan itu, seramai 30 orang pelanggan bertuah telah memilih sampul surat masing-masing di mana lima daripadanya memasuki pusingan akhir bagi menentukan pemenang hadiah utama.

    Sebanyak lima kunci kereta telah disediakan dan pelanggan bertuah yang memilih kunci kereta yang betul serta dapat menghidupkan enjin kereta muncul sebagai pemenang hadiah utama.

    Dayangku Nor Faizurah yang merupakan peserta pertama yang mencuba untuk menghidupkan enjin kereta menggunakan kunci kereta yang dipilihnya, ternyata merupakan pilihan yang tepat apabila enjin kereta dapat dihidupkan dan beliau memenangi hadiah utama.

    Pengerusi Maju Motors Sdn Bhd, YAM Pengiran Ratna Wijaya Brigedier Jeneral (B) Pengiran Haji Hasnan bin Pengiran Ahmad menyerahkan hadiah utama iaitu sebuah kereta Renault KWID Climber kepada Dayangku Nor Faizurah binti Pengiran Haji Suffian semasa cabutan akhir Promosi Cabutan Bertuah Renault yang berlangsung di Dewan Pameran Utama Maju Motors, Jalan Telanai, kelmarin. – Gambar oleh Sim Y. H.
    YAM Pengiran Ratna Wijaya Brigedier Jeneral (B) Pengiran Haji Hasnan dan jemputan khas menghadiri acara cabutan bertuah yang berlangsung di Dewan Pameran Utama Maju Motors, Jalan Telanai, kelmarin.
    Reaksi Dayangku Nor Faizurah semasa mendapati kunci kereta pilihannya dapat menghidupkan enjin kereta sekali gus memenangi hadiah utama.

    Dayangku Nor Faizurah menyatakan perasaan gembira dan tidak menyangka akan membawa pulang hadiah sebuah kereta baharu. Beliau juga menyatakan penghargaan kepada pihak Maju Motors atas penganjuran promosi berkenaan.

    Manakala, seramai 29 orang pelanggan bertuah yang lain telah membawa pulang hadiah-hadiah menarik termasuklah televisyen Ultra HD, peti sejuk dan ketuhar.

    Di samping itu, seramai 100 hadiah sagu hati yang lain turut diberikan kepada para pelanggan termasuk peralatan elektrik, baucar servis Renault dan hamper barangan Renault.

    Promosi itu berjalan dari Oktober 2022 hingga 19 Februari 2023 di mana ia dibukakan kepada semua pemilik kereta Renault yang telah membuat pembelian mana-mana model Renault iaitu KWID RXT, KWID Climber, Triber dan Kiger sepanjang tempoh promosi berkenaan.

    Sementara itu, bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-39, Maju Motors akan mengadakan Acara Weekend Food Fiesta pada 25 hingga 26 Februari bermula dari pukul 10 pagi hingga 6 petang di Dewan Pameran Utama Maju Motors, Jalan Telanai.

    Semasa acara itu, sebanyak 20 vendor makanan dan minuman terkenal seperti Pezzo, Sugar Bun, Coffee Bean & Tea Leaf, Leaves & Loaf, Ideal, Kampung Cendol, Kombucha, Ri’s Cafe dan Peak, akan menyajikan pelbagai hidangan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda