TUCSON, ARIZONA – Tiada apa yang membuat Brad Lancaster lebih gembira selain daripada turunnya hujan monsun.
Lelaki tinggi berusia 58 tahun itu melompat seperti kanak-kanak di lopak air di kaki lima pada suatu petang Ogos lalu selepas setengah inci (1.3 sentimeter) hujan turun secara tiba-tiba di Tucson, Arizona, ketika musim panas yang amat kering.
“Indahnya!” jerit Lancaster dengan senyuman lebar apabila melihat air berkumpul dalam sebuah takungan yang digalinya sebelum ini di tanah yang ditanam dengan tumbuhan tempatan di sepanjang laluan awam.
“Adalah sangat penting untuk kita bersedia menyimpan air hujan apabila ia turun, walaupun sedikit,” katanya, merujuk kepada kaedah mudah penuaian air hujan yang melibatkan penggalian lubang bagi membolehkan air hujan meresap ke dalam tanah dan disimpan seperti span. “Kuncinya adalah mengumpul setiap titisan.”
Di Barat Daya Amerika Syarikat dan kawasan lain, semakin ramai tukang kebun rumah dan pengurus landskap menggunakan air hujan yang dikumpul untuk menyuburkan pokok ros dan kebun kaktus mereka ketika berdepan kemarau yang semakin buruk serta suhu yang meningkat akibat pemanasan global.






Lancaster dan pakar penuaian air hujan lain berkata, tukang kebun di mana-mana sahaja boleh mendapat manfaat dengan mengumpul titisan hujan dan aliran air dari bangunan serta permukaan lain untuk menyiram tanaman, bahkan di kawasan yang lebih lembap di mana amalan ini kurang biasa dilakukan.
Mengumpul air hujan telah lama diamalkan di banyak kawasan paling kering di dunia. Di Australia, ia sering digunakan untuk minuman, mandi dan tandas. Di Afrika – tempat Lancaster berkata beliau lebih banyak belajar tentang amalan itu – ia membantu komuniti bertahan hidup.
Menjimatkan air hujan juga penting di Arizona selatan, yang kini tertekan akibat kemarau berpanjangan. Ia lebih kering berbanding sebelumnya, dengan Tucson menerima kurang daripada separuh kira-kira 7 inci (18 sentimeter) hujan yang biasanya turun menjelang minggu pertama September.
Sebahagian hujan paling lebat di Arizona dan kawasan lain di Barat Daya Amerika Syarikat berlaku pada musim panas, semasa musim monsun tahunan Amerika Utara.
Sehingga dua pertiga daripada penggunaan air kediaman di bandar gurun itu digunakan untuk kegunaan luar, kata Adriana Zuniga, profesor penyelidikan bersekutu dalam program dasar alam sekitar di Universiti Arizona.
“Idea utamanya adalah menggunakan kurang air paip untuk pengairan,” katanya. Penuaian air hujan bukanlah satu revolusi moden.
Zuniga, yang meneliti penggunaan air oleh masyarakat Maya yang tinggal di Amerika Tengah dan tenggara Mexico, menyatakan bahawa tamadun purba itu menangkap air hujan untuk bertahan ketika musim panas yang kering dan panas.
“Ia sepatutnya menjadi asas kepada cara kita hidup di Barat Daya dan akhirnya di seluruh dunia pada tahun-tahun mendatang dalam menghadapi perubahan iklim,” kata tukang landskap Tucson, Eli Nielsen, yang bersama-sama memiliki sebuah kedai menjual produk penuaian air hujan termasuk rantai hujan yang mengalirkan air dari bumbung bangunan.
Jika awda berminat untuk membina sistem pengumpulan air hujan sendiri, berikut cara untuk bermula:
DAPATKAN ILMU
Ketahui sama ada negeri awda mempunyai sekatan terhadap penuaian air hujan atau memerlukan permit atas pertimbangan alam sekitar atau kesihatan dan keselamatan. Satu alat yang dibangunkan oleh Pacific Northwest National Laboratory bersama Program Pengurusan Tenaga Persekutuan boleh membantu.
Semak sama ada jabatan air bandar atau daerah awda mempunyai program yang menggalakkan penuaian air hujan atau menyediakan sumber lain. Kolej komuniti tempatan atau pejabat lanjutan koperasi mungkin menawarkan program pendidikan yang memberi panduan.
Di Tucson, jabatan air bandar menawarkan rebat sehingga AS$2,000 untuk sistem pengumpulan hujan kediaman. Ia bekerjasama dengan kumpulan bukan untung tempatan, Watershed Management Group, untuk menyediakan kelas percuma selama dua setengah jam yang wajib diikuti penduduk bagi mereka bentuk sistem yang layak menerima rebat.
Salah satu kelas yang boleh diikuti oleh sesiapa sahaja secara maya ialah Essential Rain Water Course, yang ditawarkan secara percuma di YouTube. Ia dikendalikan bersama oleh pakar penuaian air, Peter Coombes, profesor kehormat di Universiti Kebangsaan Australia dan pengarah urusan badan pemikir bebas Urban Water Cycle Solutions, serta Michelle Avis, pengasas bersama organisasi Kanada, Verge Permaculture.
Ramai penyokong pengumpulan hujan berkata buku paling berautoriti mengenai topik ini ialah karya Lancaster, Rainwater Harvesting for Drylands and Beyond, bersama satu jilid kedua yang diterbitkan kemudian. Lancaster juga menawarkan sumber percuma kepada umum melalui laman sesawangnya.
BUAT PERANCANGAN
Tentukan sejauh mana awda ingin berusaha.
Tidak ramai orang yang akan sededikasi Lancaster dalam mengumpul hujan, kata Hsin-I Chang, profesor penyelidikan bersekutu dalam bidang hidrologi dan sains atmosfera di Universiti Arizona. Beliau memberi kredit kepada Lancaster kerana mempopularkan amalan itu di Tucson.
Sistem penuaian aktif menggunakan tangki simpanan, paip dan kadangkala pam. Tetapi sistem pasif yang lebih ringkas dan berteknologi rendah berfungsi dengan membentuk landskap menggunakan takungan dan kontur di sekitar pokok serta tumbuhan lain. Cara ini membolehkan air hujan terkumpul dan kemudian meresap ke dalam tanah bagi mengisi semula akuifer serta menyuburkan tumbuhan berdekatan.
“Adalah sangat mudah untuk bermula dengan pembentukan kontur,” kata Chang, sambil menyatakan bahawa sistem aktif boleh lebih mahal untuk dipasang dan diselenggara.
PERLUKAN BANTUAN TAMBAHAN?
Jika awda memerlukan bantuan, pertimbangkan untuk mengupah tukang landskap yang berpengalaman dalam sistem penuaian. Awda juga boleh mendapatkan nasihat daripada tukang kebun mahir di nurseri tempatan atau kedai pembaikan rumah.
Dan awda boleh menjadikan Lancaster sebagai inspirasi, dengan mencontohi kegembiraan yang ditunjukkannya setiap kali hujan turun. – AP

