SINGAPURA, 31 MEI – Seorang lelaki Singapura telah didenda S$1.16 juta kerana menyediakan penginapan sewa jangka pendek secara haram menerusi Airbnb dan platform-platform lain, menurut pihak berkuasa hari ini, hukuman tertinggi bagi kesalahan berkenan di negara bandar tersebut.
Perumahan adalah satu isu sensitif di negara yang kekurangan ruang itu, di mana kebanyakannya tinggal di rumah-rumah pangsa, dan menyewakan tempat penginapan bagi tempoh kurang daripada tiga bulan adalah diharamkan.
Simon Chan, 57, dilaporkan memajak 14 rumah pangsa dan menyewakannya pula sebagai tempat penginapan jangka pendek kepada tetamu-tetamu tempatan dan asing.
Bekas ejen hartanah itu mengiklankan rumah-rumah pangsa berkenaan menerusi Airbnb, HomeAway dan platform-platform lain, media tempatan melaporkan.
Sebuah mahkamah pada Isnin telah mendendanya S$1.16 juta (AS$845,000), hukuman tertinggi yang pernah dijatuhkan bagi sewa jangka pendek, dan dia akan dipenjara jika gagal membayarnya, pegawai-pegawai mengesahkan.
Teman wanitanya dilaporkan didenda S$84,000 kerana membantunya. – AFP