TIRANA, 16 NOV – Thomas Tuchel berkata rekod tidak difikirkannya ketika dia sediakan skuad England untuk perlawanan kelayakan Piala Dunia terakhir mereka menentang Albania malam nanti.
Jurulatih dari Jerman itu memulakan kerjaya dengan kemenangan 2-0 menentang Albania di Wembley pada bulan Mac dan tamatkan tahun pertamanya mengendalikan pasukan menentang lawan yang sama di Tirana.
England, yang layak ke Piala Dunia tahun depan di Kanada, Mexico dan Amerika Syarikat bulan lalu, telah memenangi kesemua tujuh perlawanan setakat ini dalam Kumpulan K tanpa bolos.
Enlgand boleh menjadi pasukan Eropah pertama yang bermain sekurang-kurangnya enam perlawanan kelayakan Piala Dunia dan memenangi semuanya tanpa bolos, tetapi itu bukan dalam radar Tuchel.
“Kami tidak bercakap sepatah pun tentang itu,” katanya kepada pemberita kelmarin. “Kami pastikan bahawa kami menjalani sesi latihan seperti biasa kami. Semua orang bersedia untuk bermain. Rasa dahagakan kemenangan masih berterusan.”
England tiba di Albania dengan skuad 23 pemain selepas Ezri Konsa menarik diri dari kem kerana aduan betis.
Ini bermakna akan ada sekurang-kurangnya satu perubahan daripada kemenangan 2-0 pada hari Khamis menentang Serbia, apabila penampilan Jude Bellingham, Eberechi Eze dan Phil Foden mengagumkan dari bangku simpanan.
Kapten Harry Kane yakin semua pemain berada pada tujuan yang sama ketika Tuchel berusaha untuk menjalin perasaan ‘kekeluargaan‘ dalam pasukan yang tulen.
“Saya fikir semua orang berasa bersedia untuk menjadi sebahagian daripadanya, mereka mahu datang dan menunjukkan apa yang mereka boleh lakukan dalam latihan dan perlawanan,” kata Kane. “Mereka jelas ingin menunjukkan kepada bos bahawa mereka layak dipilih untuk musim panas akan datang.” – AFP

