Sunday, February 23, 2025
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    TUDM tubuh pasukan nilai pesawat kawalan maritim

    BANGKOK, 7 Nov – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan menubuhkan satu pasukan teknikal bagi menilai beberapa jenis pesawat kawalan maritim (MPA) berikutan kelulusan kerajaan bagi pembelian pesawat pemantauan seperti diumumkan dalam Bajet 2018 baru-baru ini.

    Menurut panglimanya Jen Tan Sri Affendi Buang, pasukan teknikal itu akan menganalisis beberapa aspek pesawat pesaing dan memilih pilihan terbaik yang sesuai dengan keperluan TUDM.

    Selain kemampuan pesawat, pasukan itu juga akan menilai fungsi-fungsi lain pesawat termasuk aspek sokongan dan sama ada ia (pesawat) boleh bekerjasama dengan industri kita. Kita perlu melihat secara holistik manfaat jangka pangjangnya,” katanya kepada media semasa menghadiri pameran Pertahanan dan Keselamatan 2017 di sini baru-baru ini.

    Katanya kerajaan, seperti yang diumumkan dalam bajet, telah meluluskan pemerolehan empat MPA, selaras dengan keperluan minimum TUDM, namun jumlah pesawat boleh ditambah pada masa depan, bergantung kepada kemampuan kewangan kerajaan.

    Affendi berkata dengan pembelian pesawat berkenaan ia akan meningkatkan kemampuan tentera udara bagi melindungi sempadan maritim negara dan menangkis sebarang bentuk pencerobohan.

    Pada masa ini, tugas melindungi kedaulatan maritim negara digalas tiga pesawat Beechcraft B200 TUDM dan pesawat daripada agensi-agensi yang lain.

    Sementara itu, Affendi berkata bagi memastikan pasukan teknikal itu menjalankan penilaian terbaik tentang pesawat yang sesuai bagi tentera udara, pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) akan juga menyertai pasukan itu atas beberapa sebab yang menarik perhatian.

    Walaupun operasi MPA akan dikendalikan TUDM, misi berbilang spektrum juga mengandungi operasi laut seperti Anti-Submarines Warfare (ASW), yang menjadikan ia penting untuk mempunyai input daripada pegawai tentera laut dalam pasukan penilaian itu.

    Selain pemantauan ASW dan maritim, MPA menurut panglima TUDM itu juga perlu melaksanakan misi seperti Mencari dan Menyelamat (SAR) dan Perisikan Elektronik atau Electronic Intelligence (ELINT).

    Di antara pesaing bagi memenuhi keperluan MPA TUDM termasuk Airbus Defence and Space’s C295, PT Dirgantara CN235, Indonesia, Leonardo’s ATR72 dan P-8 Poseidon yang digunakan angkatan tentera Amerika Syarikat dan Australia. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda