Susulan kontroversi dituduh pembuli, rakan sekolah pelakon, Kim Hieora tampil menafikan pelakon itu kaki buli dalam satu hantaran panjang di media sosial, baru-baru ini.
Menurut individu enggan dikenali itu, pelakon terbabit yang dipanggil Eora sangat berjasa kepadanya. Disebabkan Eora juga dia kembali bersemangat meneruskan persekolahan.
Menurutnya, Eora pernah bertandang ke rumahnya bersama sekumpulan pelajar yang suka membulinya. Pelakon itu juga menjadi punca individu itu berhenti dibuli.
“Ada sehari itu, mereka datang ke rumah saya lagi. Tapi, ada seorang kawan lain yang saya cuma kenal namanya sebagai Eora. Itu hari penamat saya menjadi mangsa buli mereka.
“Tak pasti kalau Eora masih ingat, tapi selepas meluangkan masa di rumah saya, dia berterima kasih diberi makan dan mohon maaf kerana tidak tolong membasuh pinggan. Dia juga ajak saya berkawan,” katanya.
Menurutnya, kata-kata itu mungkin hal remeh, tapi sangat bermakna buatnya. Bahkan, dari situ dia menjadi rapat dengan pelakon terbabit.
“Sejak itu, dia sentiasa menyapa saya di sekolah dan jadikan saya kawan. Pada tahun ketiga, kami jadi rakan sekelas, belajar bersama, saling meluah dan lepak di rumahnya.
“Eora sentiasa menjadi perhatian. Namanya unik, matanya bundar berwarna coklat, kulitnya putih dan orang akan berpaling melihat penampilannya,” katanya. – Agensi
