LONDON, 30 Mac – Zlatan Ibrahimovic telah memberikan petanda bahawa dia mungkin melanjutkan lagi tempohnya di Manchester United selepas berkata dia ‘tidak pernah pergi selagi tugas belum selesai’.
Penyerang veteran berusia 35 tahun itu dengan cepat menjadikan dirinya kegemaran penyokong di Old Trafford, dengan setakat ini telah menjaringkan 26 gol dalam 41 penampilan dalam musim pertamanya selepas menyertai United dari Paris Saint-Germain dengan percuma.
Ibrahimovic mempunyai pilihan setahun lagi dalam kontraknya, dengan pengurus United, Jose Mourinho dengan jelas mahu Ibrahimovic terus kekal dengan gergasi Inggeris itu.
“Saya adalah seorang yang jika mahu melakukan sesuatu perkara, saya akan melakukannya 200 peratus,” kata Ibrahimovic.
“Saya masuk, saya segera mencapai sasaran dan saya keluar. Dan semasa saya keluar, tidak ada sebarang rungutan, itu yang saya lakukan. Saya tidak pernah pergi selagi tugas belum selesai.
“Kita lihat apa yang akan terjadi nanti, kami masih berbincang. Saya mempunyai pilihan untuk menyambung setahun lagi, saya mahu melakukan perkara hebat selagi saya berada di sini, masih ada banyak masa.” – AFP
