Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 25 FEB – Tugas dan tanggungjawab Pasukan Pemantauan Pesakit (PMT) adalah membuat susulan dalam pengurusan pesakit-pesakit COVID-19 setelah mereka diarahkan untuk menjalani pengasingan mandatori di rumah (khususnya pesakit-pesakit dalam kategori jangkitan 1 dan 2a).
Ini termasuk memastikan keadaan pesakit berada dalam keadaan baik dan stabil di sepanjang pengasingan rumah (melalui kaedah soal selidik triaj), mengurus keadaan kesihatan pesakit jika tidak serius atau teruk, membantu dalam penghantaran pakej penjagaan kesihatan kepada para pesakit dan menetapkan protokol discaj yang bersesuaian.
Perkara tersebut telah dijelaskan oleh Pegawai Perubatan, Kementerian Kesihatan, Dr Hajah Martina Melati binti Dato Seri Paduka Haji Kifrawi selaku ketua PMT, semasa Sidang Media bagi pengurusan pesakit-pesakit COVID-19 yang menjalani pengasingan diri di rumah, yang diadakan di Tingkat 1, Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan kelmarin.
Turut hadir di sidang media tersebut ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Profesional) di Kementerian Kesihatan, Dr Ang Swee Hui, Konsultan (Kesihatan Awam) di Kementerian Kesihatan, Dr Justin Wong, dan Konsultan (Penyakit Berjangkit), Kementerian Kesihatan, Dr Hajah Riamiza Natalie Haji Momin.
Dr Hajah Martina Melati menjelaskan bahawa situasi pada masa ini berbeza semasa gelombang kedua tahun lepas, di mana pasukannya boleh menghubungi kesemua kes bagi memastikan keadaan kesihatan mereka, namun kali ini (gelombang ketiga), mereka perlu merubah kepada langkah atau cara yang lebih digital iaitu dengan memperkenalkan kaedah soal selidik bagi pesakit dengan melaporkan sendiri keadaan kesihatan diri.
Ianya berikutan dengan jumlah kes yang amat tinggi sebanyak lebih daripada 20,000 di mana kebanyakan kes-kes tersebut menjalani pengasingan diri di rumah
Beliau menjelaskan bahawa setelah seseorang itu disahkan positif COVID-19 dan status BruHealth bertukar kepada warna ungu, mereka akan diberikan kategori, yang akan dianalisa dan disoal selidik mengenai keadaan kesihatan pesakit berkenaan oleh pasukan lain bagi menentukan sama ada kategori 1 atau 2a, dan seterusnya pengurusan diambil alih oleh PMT.

“Pengasingan diri di rumah hanyalah untuk kategori 1 dan 2a, iaitu kategori 1 bermaksud mereka yang disahkan positif namun tidak mempunyai sebarang simptom/gejala (asimptomatik), dan kategori 2a ialah mereka yang mempunyai gejala ringan sahaja seperti sakit tekak, batuk, selesema tanpa demam dan tidak menyebabkan sesak nafas, hilang deria rasa, sakit otot namun masih mampu menjalankan aktiviti harian,” jelas Dr Hajah Martina Melati.
“Manakala bagi Kategori 2b ialah yang mempunyai gejala seperti demam yang berpanjangan (lebih dua hari), sesak nafas, sakit dada, kelesuan yang semakin teruk dan simptom yang semakin teruk atau berpanjangan seperti batuk, loya, muntah atau cirit birit,” menurut beliau yang kemudiannya menjelaskan bahawa mereka yang di bawah Kategori 2b perlu dipantau di hospital atau Pusat Pengasingan Kebangsaan.
Menurut Dr Hajah Martina Melati, terdapat lima proses pengurusan bagi kes-kes yang berada dalam Kategori 1 dan 2a.
Proses pertama ialah Diagnosis dan Melaporkan, iaitu setelah disahkan positif (selepas melaporkan ke portal ART Report atau kod BruHealth menjadi ungu), pesakit akan menerima notifikasi melalui BruHealth bagi urusan selanjutnya.
Proses kedua ialah Maklumkan Kontak, iaitu pesakit perlu memaklumkan semua kontak terdekat (mana-mana yang terdedah dua hari sebelum tarikh swab awda) untuk menjalani Protokol Kontak Terdekat.
Proses ketiga ialah Penilaian Simptom iaitu pengkategorian jangkitan oleh pasukan klinikal yang mana Kategori 1 dan 2a dibenarkan untuk diasingkan dan pulih di rumah.
Proses keempat Pemulihan iaitu pesakit perlu melaporkan status kesihatan (triaj kendiri) di dalam BruHealth pada hari kedua hingga hari ke-10, penghantaran pakej penjagaan kesihatan kepada pesakit, melakukan ujian pantas antigen (ART) pada hari kelima dan ulangi ART kedua (tertakluk kepada keputusan hari kelima) dan menghadapkan laporan ujian ke dalam BruHealth, dan jika simptom bertambah teruk, hubungi TD123 atau 991.