SEOUL, 30 DIS – Lelaki Korea Selatan yang enggan melaksanakan perkhidmatan tentera wajib atas dasar moral, agama dan kepercayaan akan dibenarkan melakukan tugasan alternatif iaitu berkhidmat selama tiga tahun di fasiliti koreksional tempatan mulai tahun depan, lapor agensi berita Yonhap memetik kenyataan kementerian pertahanan pada hari ini.
Berdasarkan undang-undang, semua lelaki Korea Selatan yang bertubuh badan sempurna diwajibkan melaksanakan perkhidmatan tentera selama dua tahun dan mereka yang gagal mematuhinya akan berdepan hukuman penjara.
Pada Jumaat, Dewan Perhimpunan telah meluluskan satu rang undang-undang yang membenarkan pembantah ikut nurani melakukan perkhidmatan alternatif selama 36 bulan, bagi menggantikan kewajipan mereka untuk mengikuti latihan ketenteraan. Kelulusan undang-undang baharu itu menyusuli keputusan bersejarah membabitkan perlembagaan pada 2018 yang mengiktiraf keperluan mewujudkan satu bentuk perkhidmatan ketenteraan tanpa melibatkan penggunaan senjata api atau senjata lain untuk pembantah ikut nurani.
Mengumumkan pelan itu untuk program baharu tersebut sebelum ini, kementerian pertahanan berkata ia telah menilai keadilan berbanding dengan anggota perkhidmatan tugas aktif dan pencegahan eksploitasi pilihan baharu untuk mengelak kerahan sebagai antara beberapa prinsip utama.
Sementara itu, gaji bulanan untuk anggota tentera berpangkat rendah seperti prebet atau koperal akan meningkat sebanyak 33 peratus setahun mulai 2020 selaras dengan janji kempen Presiden Moon Jae-in untuk menaikkan elaun tentera kerahan kepada separuh daripada gaji minimum pasukan keselamatan tersebut menjelang 2022. – Bernama