Sunday, July 13, 2025
27 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tugu PGGMB dikaji sebagai bahan sejarah

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 MEI – Pegawai-pegawai dari Unit Institusi dan Monumen, Bahagian Penyelidikan dan Dokumentasi, Pusat Sejarah Brunei Darussalam telah mengadakan sesi temu bual mengenai Tugu PGGMB di Negara Brunei Darussalam yang berlangsung di Ibu Pejabat PGGMB, kelmarin.

    Sesi perjumpaan dan temu bual berkenaan bermatlamat untuk mendapatkan sumber lisan, bahan-bahan dokumentasi dan data-data sejarah mengenai Tugu PGGMB di mana hasil penyelidikan itu nanti akan dijadikan bahan rujukan dan simpanan Pusat Sejarah.

    Pada sesi temu bual berkenaan Pusat Sejarah diwakili oleh Penolong Pegawai Sejarah Tingkat 1, Hajah Norlita binti Haji Ahmad; Pekerja Tingkat 1, Azri Shafri bin Seini dan Nur Nadzmira binti Abdullah Zulkifli.

    Sementara itu, PGGMB telah diwakili oleh Setiausaha Agung PGGMB, Haji Mustapa bin Haji Masri; Timbalan Setiausaha Agung (Dalam Negeri), Pengiran Haji Hamzah bin Pengiran Haji Muhammad; Timbalan Setiausaha Agung (LuarNegeri), Haji Yahya bin Haji Mirasan serta Mantan Yang Dipetua PGGMB, Haji Antin bin Ahad.

    Dalam sesi temu bual berkenaan, Haji Antin telah menceritakan sejarah pembinaan Tugu Pancutan Air PGGMB dengan terperincinya termasuk tujuan ia dibina, pengertian Tugu berkenan serta moto PGGMB.

    Haji Mustapa pula mengongsikan perkembangan dan kemajuan yang dicapai oleh PGGMB hingga sekarang.

    Manakala, Pengiran Haji Hamzah dan Haji Yahya turut mengongsi mengenai penglibatan PGGMB dalam bidang kenegaraan, kemasyarakatan, keugamaan dan kebudayaan serta hubungan dan perkembangan dalam arena pendidikan di peringkat serantau dan antarabangsa.

    Hasil daripada sesi temu bual berkenaan akan dikumpulkan sebagai bahan rujukan serta maklumat yang diperlukan oleh generasi akan datang.

    Tugu Pancutan Air PGGMB.
    Pegawai dari Pusat Sejarah Brunei dan wakil PGGMB bergambar-ramai semasa sesi temu bual berkenaan  – Gambar serahan PGGMB

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda