Memberanikan diri mengubah nasib dan berhijrah ke Kuala Lumpur tanpa duit poket mencukupi antara kenangan tak mampu dilupakan anggota kumpulan K-Clique, Tuju.
Malah, berbekalkan kelayakan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM), Tuju hanya mampu bekerja sebagai pencuci kereta. Namun, segala-galanya membuatkannya menghargai apa yang dimiliki, hari ini.
“Saya berhijrah ke Kuala Lumpur tanpa memberitahu keluarga. Saya hanya katakan pada mereka, saya mempunyai jemputan persembahan untuk dipenuhi.
“Saya tiada duit disebabkan membayar deposit rumah dan sebagainya, jadi poket saya kosong. Dan, saya juga seorang diri, ketika itu.
“Meskipun begitu, saya meyakinkan diri untuk terus melangkah walaupun setiap malam saya menangis di tepi tingkap. Kota Kinabalu begitu selesa, namun saya kena keluar dari zon selesa untuk mengubah hidup,” katanya kepada media.
Tuju berkata, dia bersyukur, tetapi dalam masa yang sama, rasakan apa yang dilalui sebagai mimpi.
“Dalam waktu yang singkat, saya kini bapa kepada dua cahaya mata. Jujurnya, saya bersyukur dengan apa yang dilalui dan diperolehi sekarang,” katanya.
Tuju atau nama sebenarnya, Muhammad Azree Shah Awang Zambri berkata, kehidupan sukarnya itulah yang memberikannya inspirasi untuk menghasilkan single solo berjudul Jiwa Pusing.
Katanya, single Jiwa Pusing adalah kisah jiwanya kucar kacir sebelum berhijrah ke ibu kota.
“Semasa menghasilkan single Jiwa Pusing pada 2019, saya tidak dapat melihat masa depan. Apatah lagi, menghasilkan karya. Orang sekeliling semuanya belajar, tetapi saya tidak.
“Meskipun saya bekerja, tetapi tetap tak nampak masa depan. Jadi, jiwa saya pusing apabila melihat semuanya gelap. Saya memikirkan apa yang akan jadi lima tahun akan datang. Adakah saya mampu mempunyai rumah dan membantu mama papa sebab mereka makin tua, bukannya muda.
“Sebagai anak pertama, memikirkan semua ini membuatkan jiwa saya pusing. Namun, sudah rezeki, pada masa itulah ada pihak yang mahukan saya menghasilkan lagu, jadi saya keluarkan jiwa pusing dan tulis lagu ini dalam masa tiga hari,” katanya.
Bagaimanapun, kata Tuju, untuk mengeluarkan lagu tidak semudah yang disangka. Dia mengambil masa dua tahun untuk tampil dengan lagu berkenaan. Tuju berkata, dia lega single Jiwa Pusing terbitan Black Hat Records dan edaran Warner Music Malaysia akhirnya berjaya direalisasikan.
“Syukur, ada rezeki untuk saya mengeluarkan single Jiwa Pusing, tahun ini. Sebelum ini, saya bersama label yang lain dan disebabkan beberapa cabaran serta pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), banyak yang perlu ditangguh.
“Apapun, saya tetap bersyukur. Ini adalah waktu tepat untuk tampil dengan single baharu memandangkan bersesuaian dengan tempoh pandemik COVID-19 ini, kita mempunyai cabaran hidup yang membuatkan jiwa pusing. Seperti pelajar sedang bertarung dengan peperiksaan SPM, begitulah kehidupan ketika pandemik ini,” katanya.
Mengulas harapan terhadap perjalanan solonya, Tuju berkata, dia tidak meletakkan harapan tinggi.
“Saya hanya mahu mengeluarkan jiwa saya menerusi lagu dan memberikan muzik baik. Saya tidak mengharapkan apa-apa. Cukup keluarga gembira dengan muzik saya. Itu sudah memadai kerana niat saya membuat muzik secara solo,” kata suami kepada penyanyi hip hop, Loca B ini. – Agensi