Saturday, April 26, 2025
24.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tuju lagu buat ibu tercinta

    PENYANYI Ismail Izzani memberitahu lagu terbaharunya berjudul Bidadari ditujukan khas buat ibunya yang juga penyanyi zaman 1980-an iaitu Datin Suliza Salam.

    Menurut Ismail, 18, dia mahu memberi mesej kepada ibunya melalui lirik lagu tersebut dan turut memberi kata-kata positif kepada pendengar.

    “Lagu Bidadari ini sudah lama sejak tahun lalu tapi saya kemas kini semula lirik lagu itu. Sebenarnya memang bidadari itu ditujukan kepada wanita dalam hidup kita.

    “Bidadari saya sudah tentulah ibu. Maksud lirik itu memang ditujukan untuk ibu saya. Saya ingin menyampaikan mesej positif kepada ibu dan semua orang yang mendengar.

    “Lagu ini juga sangat bermakna buat saya kerana saya turut bekerja menghasilkan lirik dan bunyi di dalam lagu itu,” katanya.

    Ismail Izzani telah melancarkan sebuah lagu baharu berjudul Bidadari yang ditujukan untuk ibunya. – Agensi

    Video muzik lagu Bidadari sudah mencecah hampir 880,000 tontonan, lebih 52,000 tanda suka dan menjadi trending nombor tiga semenjak dimuat naik baru-baru ini.

    Dalam pada itu, penyanyi lagu Luar Biasa ini meluahkan rasa syukur apabila lagu tersebut mendapat sambutan dan sokongan positif daripada pendengar biarpun dilancarkan secara tergesa.

    Biarpun rakan-rakan seperjuangan seperti penyanyi As’ad Motawh, Naim Daniel, Andi Bernadee dan Sarah Suhairi turut melancarkan lagu terbaharu namun Ismail tidak menganggap ia satu persaingan.

    “Alhamdulillah saya sangat bersyukur sebab semuanya berjalan dengan lancar biarpun dalam keadaan tergesa. Niat saya cuma satu iaitu nak berkongsi muzik saya dengan semua orang.

    “Saya tak pernah nak bersaing dengan rakan-rakan yang lain dan saya turut menyokong mereka. Selagi saya dapat kongsi muzik, saya tak kisah tentang persaingan.

    “Selain itu, saya juga ingin ucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat iaitu pihak pengurusan saya, WP Entertainment yang menjayakan lagu ini,” ujarnya. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda