ISTANBUL, 6 JAN – Sekurang-kurangnya tujuh anak damit maut di Gaza akibat cuaca sejuk dan tempat perlindungan yang tidak mencukupi, lapor Agensi Anadolu memetik kenyataan Agensi Kerja dan Bantuan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) kelmarin.
“Cuaca sejuk dan kekurangan perlindungan menyebabkan kematian anak damit baru lahir di Gaza. Seramai 7,700 anak damit baru lahir kekurangan penjagaan yang dapat menyelamatkan nyawa. Sehingga kini, sekurang-kurangnya tujuh anak damit dilaporkan maut,” menurut UNRWA di X.
Selain itu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengecam serangan lewat minggu lalu oleh tentera Israel yang merosakkan Hospital Kamal Adwan, satu-satunya kemudahan kesihatan utama yang masih berfungsi di utara Gaza dan UNRWA mencatatkan 50 serangan terhadap atau berdekatan hospital tersebut telah disahkan sejak Oktober 2024.
WHO turut mendesak pembebasan pengarah hospital itu, Dr Hussam Abu Safiya. – Bernama