JAKARTA, 8 MEI – Pihak berkuasa Indonesia berjaya menumpaskan rangkaian pemerdagangan manusia di Kalimantan Utara, dengan menahan tujuh suspek serta menyelamatkan 82 mangsa, menurut polis hari ini.
Operasi itu dilancarkan susulan pemeriksaan oleh Pasukan Penguatkuasaan Perlindungan Pekerja Migran Indonesia yang diketuai oleh Jabatan Siasatan Jenayah Polis Negara.
Pada 5 Mei, pegawai penguat kuasa menaiki feri KM Talia, diikuti KM Bukit Sibuntang pada keesokan harinya dan berjaya mengesan puluhan individu yang cuba diseludup ke Malaysia melalui pelabuhan kecil di Pulau Sebatik, dengan destinasi akhir mereka ke Tawau, Sabah.
Menurut kenyataan polis, kebanyakan migran tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah dan telah dikenakan bayaran antara 4.5 juta hingga 7.5 juta rupiah (sekitar AS$280 hingga AS$470) untuk perjalanan itu.
“Usaha ini tidak terhenti di sini. Siasatan akan diteruskan bagi membongkar rangkaian antarabangsa di sebalik kes ini,” kata Pengarah Bahagian Pemerdagangan Manusia Bareskrim, Brigedier Jeneral Nurul Azizah. – Bernama
