MADRID, 22 JULAI – Polis Sepanyol kelmarin telah menahan tujuh individu yang disyaki terlibat dalam aktiviti penyeludupan artifak arkeologi yang dirompak dan merampas kira-kira 3,200 objek artifak sebagai sebahagian daripada operasi itu.
Menurut kenyataan pihak berkuasa, objek yang dirampas terutamanya terdiri daripada syiling dari pelbagai era sejarah, namun turut merangkumi peluru lastik zaman Rom, lampu minyak, mata anak panah serta bekas kaca dari zaman Rom.
Pihak polis percaya semua objek itu telah diambil secara haram daripada tapak-tapak penggalian arkeologi, sebelum dijual secara dalam talian tanpa permit sah kepada pembeli dari pelbagai negara, termasuk Itali, Jepun dan Amerika Syarikat.
“Beberapa objek yang dirampas berada dalam keadaan begitu baik sehingga berkemungkinan besar telah diambil daripada tapak arkeologi yang belum dikenal pasti,” kata kenyataan itu lagi.
Kesemua suspek ditahan di wilayah selatan Andalusia dan kini berdepan pelbagai pertuduhan termasuk menyertai organisasi jenayah, pengubahan wang haram dan pelanggaran undang-undang perlindungan warisan budaya.
Artifak yang dirampas telah dihantar ke Muzium Arkeologi Seville untuk dianalisis dan didokumenkan oleh pakar warisan. – AFP
