Tujuh ditahan terlibat sindiket pemalsuan IC

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 SEPT – Tujuh warga tempatan yang terlibat dalam sindiket pemalsuan kad pengenalan pintar (IC) Negara Brunei Darussalam telah dikenakan Perintah Tahanan Bab 3 (1) (a) Akta Keselamatan Dalam Negeri, Penggal 133, hari ini.

Sindiket diketuai oleh Awang Fahezzrul bin Tuah, 27, seorang lelaki warga tempatan yang menjadi dalang dan perancang utama dengan dibantu oleh enam ahli sindiket lain iaitu Awang Muhd Faiz Asma’an bin Haji Abdul Rahman, 27, Awang Mohd Zaim bin Saufi, 29, Awang Mohd Aminul Rashid bin Aminuddin, 27, Awangku Abdul Haadi Putera bin Pengiran Mahari, 26, Awang Rainney bin Lius, 26 dan Awang Muhd Faiz bin Shadun, 28.

Menurut kenyataan daripada Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (JKDN) melalui siaran berita Radio Televisyen Brunei, hari ini, JKDN dengan bantuan beberapa agensi keselamatan dan penguatkuasaan yang lain telah berjaya menumpaskan sindiket jenayah terancang berkenaan yang telah terbukti menjalankan kegiatan membuat dan memalsukan kad pengenalan pintar (IC) Negara Brunei Darussalam.

Sindiket itu merancang menggunakan kad-kad pengenalan pintar palsu untuk tujuan penipuan dan menjualnya dengan harga $5,000 sekeping kepada pihak yang tidak bertanggungjawab.

Sindiket itu juga turut memalsukan dokumen-dokumen kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia serta dokumen rasmi beberapa baih syarikat swasta termasuk Government-Linked Companis, GLCs dengan tujuan untuk menjana kewangan secara tidak sah dan tidak jujur melalui skim-skim pinjaman di beberapa buah institusi kewangan di negara ini.

JKDN juga menilai kegiatan mereka jika tidak dibendung dari awal boleh mendatangkan ancaman yang lebih besar kepada keselamatan dan ketenteraman negara.

Sehubungan itu, jabatan berkenaan mengingatkan serta menyeru kepada orang ramai khususnya kepada belia-belia supaya sentiasa berwaspada dan menggunakan ilmu pengetahuan serta kebolehan yang ada untuk kegiatan-kegiatan yang sihat dan bermanfaat serta sentiasa memberikan kerjasama kepada pihak kerajaan dalam sama-sama menjaga keamanan dan kestabilan negara.