LOUISVILLE, 29 MEI – Sekurang-kurangnya tujuh orang ditembak di Louisville ketika para penunjuk perasaan menuntut keadilan bagi seorang wanita berkulit hitam, Breonna Taylor yang ditembak oleh polis di rumahnya pada bulan Mac.
Polis Metro Louisville mengesahkan dalam kenyataan hari ini bahawa terdapat sekurang-kurangnya tujuh mangsa yang ditembak, dan sekurang-kurangnya seorang dalam keadaan kritikal. Menurut kenyataan ‘beberapa orang telah ditahan,’ tetapi pihak polis tidak memberikan jumlah angka tangkapan.
“Tidak ada pegawai yang melepaskan senjata mereka,” menurut jurucakap polis, Sgt Lamont Washington menulis dalam e-mel kepada The Associated Press. Washington berkata kesemua tujuh orang mangsa adalah orang awam.
Kira-kira 500 hingga 600 orang penunjuk perasaan berarak melalui jalan-jalan di pusat bandar kelmarin, Jurnal Courier melaporkan. Polis pada mulanya mengatakan tembakan dilaporkan berlaku sekitar 11:30 malam.
“Difahami, emosi ketika ini tinggi,” datuk bandar Louisville, Greg Fisher berkata menerusi Twitter sebelum tengah malam, berkongsi catatan Facebook yang menuntut kedamaian yang katanya ditulis oleh ibu Taylor. “Seperti kata ibu Breonna, mari kita berdamai ketika berusaha menuju kebenaran dan keadilan.
Taylor, seorang juru teknologi perubatan kecemasan berusia 26 tahun, ditembak sebanyak lapan kali pada 13 Mac setelah detektif narkotik Louisville memecah pintu masuk. Tiada dadah dijumpai di rumah tersebut.
Perhatian terhadap kematian Taylor semakin meningkat setelah keluarganya menyaman jabatan polis awal bulan ini. Kes ini telah menarik perhatian utama di samping kejadian tembakan Ahmaud Arbery di kejiranan Georgia pada bulan Februari.
Tunjuk perasaan diadakan di seluruh negara – dari Los Angeles ke Memphis, Tennessee, ke New York dan Minneapolis – telah mengadakan rapat umum membantah kematian seorang lelaki kulit hitam, Goerge Floyd, dalam tananan polis Minneapolis. – AP
