DIONS, 10 MAC – Tujuh orang, termasuk dua kanak-kanak berusia empat dan 13 tahun, hilang dipercayai dihanyutkan dalam kereta di jambatan yang ditenggelami air selepas ribut ganas melanda selatan Perancis kelmarin.
Mangsa-mangsa terperangkap dalam banjir ketika memandu melintasi sebuah jambatan merentasi sungai Gardon di perkampungan Dions, utara bandar Nimes, lewat petang Sabtu lepas, kata pegawai wilayah itu.
Bapa dan dua kanak-kanak itu masih hilang tetapi ibu, 40, yang turut berada di dalam kereta, ditemui oleh penyelamat dan dibawa ke hospital, tambahnya.
Pasukan penyelamat juga sedang mencari dua wanita, dipercayai berusia 47 dan 50 tahun, yang membuat panggilan kecemasan di sebuah jambatan di bandar Goudargues di utara sebelum hubungan terputus.
Seorang lagi pemandu, warganegara Belgium, juga hilang dan dikhuatiri telah dihanyutkan dari sebuah jambatan di kampung Gagnieres juga di jabatan Gard. Seorang penumpang dalam kenderaannya, berjaya keluar dan berlindung di sebatang pokok, sebelum diselamatkan selepas lebih dua jam di celah-celah dahan.
Di jabatan jiran Ardeche, pengurus stesen janakuasa hidroelektrik yang pergi memeriksa kemudahan itu juga telah hilang sejak petang Sabtu di kampung Saint Martin de Valamas. Pencarian sedang giat diteruskan.
Menteri Dalam Negeri, Gerald Darmanin berkata anggota penyelamat telah melakukan sebanyak 35 operasi ketika ribut dan hujan lebat melanda seluruh jabatan Ardeche dan Gard. Tambahnya, semua kenderaan yang dihanyutkan telah ditemui tetapi masih ‘tiada kesan’ mereka yang hilang.
Petugas-petugas di jabatan Gard menyatakan kekesalan bahawa walaupun beberapa amaran mengenai ribut yang akan datang, “kami masih melihat tingkah laku yang berbahaya, pertama sekali untuk orang itu sendiri tetapi juga berbahaya bagi orang yang mempunyai tanggungjawab untuk membantu mereka.” – AFP


