Monday, October 7, 2024
23.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tujuh kes selesema burung H5N1 disahkan di Kemboja

    PHNOM PENH, 8 JULAI – Satu lagi kes selesema burung H5N1 telah disahkan melibatkan seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun dari wilayah Takeo, selatan Kemboja, membawa jumlah kes itu kepada tujuh sejak awal tahun 2024, menurut Kementerian Kesihatan Kemboja, hari ini.

    “Pesakit mengalami demam dan merupakan sepupu kepada seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun yang disahkan positif virus H5N1 pada 5 Julai,” kata kenyataan itu, sambil menambah bahawa kedua-dua mangsa tinggal di rumah yang sama di Kampung Pou, daerah Kiri Vong, Kemboja.

    “Kira-kira 10 hari sebelum kanak-kanak perempuan itu jatuh sakit, ayam dan itik di kampung tersebut telah mati dan keluarga pesakit telah memasaknya untuk makanan.

    “Pesakit juga mempunyai kontak langsung dengan ayam yang mati,” menurut kenyataan itu lagi.

    Sejak awal tahun ini, tujuh kes selesema burung H5N1 melibatkan manusia telah dilaporkan, termasuk enam kanak-kanak dan seorang dewasa. Satu daripada kes tersebut melibatkan kematian.

    Seorang pekerja membawa ayam di pasar Phnom Penh pada 24 Februari 2023. – AFP

    Kesemua pesakit dilaporkan mempunyai sejarah terdedah kepada haiwan ternakan yang sakit atau mati sebelum jatuh sakit.

    Influenza H5N1 adalah sejenis wabak yang biasanya merebak antara haiwan terutamanya burung atau ayam ternakan yang sakit, tetapi kadang-kadang boleh merebak dari haiwan tersebut kepada manusia.

    Gejalanya termasuk demam, batuk, hidung berair dan sesak nafas yang teruk.

    Kementerian Kesihatan Kemboja berkata wabak tersebut masih menimbulkan ancaman kepada kesihatan manusia, terutamanya kanak-kanak, dan menggesa orang ramai agar tidak memakan haiwan ternakan yang sakit atau mati.

    Dari tahun 2003 hingga kini, terdapat 69 kes jangkitan manusia dengan influenza H5N1, termasuk 42 kematian di negara Asia Tenggara tersebut, menurut kementerian itu. – Xinhua

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda