Wednesday, March 26, 2025
24.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tujuh kesalahan dikesan dilakukan majikan

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 24 MAC – Tujuh kesalahan di bawah Akta Pekerjaan, Penggal 278 yang dipercayai dilakukan oleh majikan telah didapati dalam Operasi Waspada 54/2025 di tempat tinggal pekerja asing bagi kegiatan pembinaan di Kampung Manggis, baru-baru ini.

    Operasi yang dijalankan oleh Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang, Jabatan Buruh itu bertujuan untuk menguatkuasakan dan memastikan Akta Pekerjaan, Penggal 278 dipatuhi oleh para majikan.

    Antara kesalahan terbabit ialah pekerja tidak disediakan kontrak perkhidmatan secara bertulis dengan majikan di bawah Bab 10, majikan gagal membayar gaji pekerja Bab 39, majikan gagal menyediakan tempat tinggal bersih yang mencukupi dan sempurna di bawah Bab 80.

    Selain itu, tempat tinggal pekerja tidak menepati kehendak undang-undang di bawah Bab 81, melanggar syarat-syarat Lesen Pekerja Asing Bab 86, tempat kegiatan dan tempat tinggal bukan di tempat yang diisytiharkan dan dibenarkan oleh Jabatan Buruh.

    Manakala dua kesalahan di bawah Bab 112 (2), kesalahan di bawah syarat-syarat Lesen Pekerja Asing iaitu lesen telah mansuh dan majikan gagal memberikan pekerjaan kepada pekerja.

    Siasatan lanjut akan dijalankan bagi kesalahan melanggar Akta Pekerjaan, Penggal 278, jika sabit kesalahan, majikan boleh dikenakan denda kompaun tidak lebih daripada $1,000 bagi tiap-tiap kesalahan dan jika gagal membayar denda kompaun tersebut, majikan akan dihadapkan ke mahkamah.

    Pegawai penguat kuasa semasa menjalankan pemeriksaan di tempat tinggal pekerja asing bagi kegiatan pembinaan di Kampung Manggis baru-baru ini. – GAMBAR SERAHAN JABATAN BURUH
    GAMBAR SERAHAN JABATAN BURUH

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda