JOHANNESBURG, 3 DIS – Polis tambahan telah membuat rondaan di salah satu kawasan bandar paling ganas di Afrika Selatan Selatan hari ini berikutan kejadian ‘kumpulan perusuh’ yang telah mengikat dan membakar hidup-hidup tujuh lelaki sehingga mati yang dituduh melakukan beberapa jenayah, kata polis dan penduduk.
Afrika Selatan dibelenggu kadar pembunuhan yang semakin meningkat, tetapi pemimpin masyarakat berkata Diepsloot, sebuah bandar yang mempunyai lebih 350,000 penduduk di utara Johannesburg dengan kadar pembunuhan dan rogol yang tinggi, telah diabaikan oleh pihak berkuasa.
Polis berkata mereka telah memulakan siasatan pembunuhan selepas mayat tujuh pemuda yang rentung ditemui.
Amaran mengenai dua ‘mayat rentung’ telah dikeluarkan lewat malam Jumaat, kata jurucakap polis, Leftenan Kolonel Mavela Masondo dalam satu kenyataan kepada AFP.
Lima lagi mayat ditemui pada awal pagi kelmarin di daerah berhampiran Diepsloot, tambahnya.
“Siasatan awal menunjukkan bahawa dalam kedua-dua kejadian, mangsa diserang dan dibakar oleh kumpulan perusuh,” kata Masondo.
Mayat lima lelaki itu, semuanya berusia dalam lingkungan 20 tahun, ditemui di atas timbunan batu-bata di kawasan lapang bandar itu. – AFP
