Tujuh mangsa helikopter terhempas dikesan

LIMA, 9 JULAI – Tentera Udara Peru (FAP) semalam berkata ia mengesan tujuh lagi mayat mangsa helikopter tentera MI-17 yang hilang di Peru Amazon pada Selasa, lapor agensi berita Xinhua.

Terdahulu, ketika meneruskan operasi mencari dan menyelamat, FAP menemui ‘pesawat yang terhempas berhampiran komuniti Chija … di wilayah Bagua,’ di utara negara itu.

Antara yang terkorban adalah empat anak kapal dan tiga penumpang, menurut tentera udara itu dalam satu kenyataan.

Satu siasatan telah dibuka “bagi mengetahui punca kemalangan,” kata FAP.

Presiden Peru Martin Vizcarra mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa, yang menurut beliau sedang dalam misi untuk menyampaikan bekalan makanan kepada masyarakat di wilayah Amazon yang terjejas akibat pandemik COVID-19. – Bernama