LAGOS, 2 NOV – Anggota menyelamat hari ini mengeluarkan dua lagi mangsa bangunan pencakar langit yang runtuh di Lagos dan sedang berhubung dengan mangsa lain yang tertimbus dalam runtuhan, sehari selepas nahas itu membunuh sekurang-kurangnya tujuh orang dan meninggalkan ramai terperangkap.
Kejadian dilaporkan membabitkan sebuah bangunan setinggi 21 tingkat di kawasan perniagaan dan perumahan mewah Ikoyi.
Menurut pegawai pasukan penyelamat, ramai pekerja dipercayai berada dalam bangunan itu ketika ia runtuh.
Ibrahim Farinloye daripada Agensi Pengurusan Kecemasan Nasional (NEMA) berkata, tujuh mangsa sudah diselamatkan setakat ini tetapi pekerja pembinaan bimbang puluhan rakan sekerja mereka masih terperangkap di dalam.
Gabenor Lagos, Babajide Sanwo-Olu, menyeru semua pihak supaya bertenang, ketika operasi mencari dan menyelamat (SAR) diteruskan walaupun malam.
Katanya, beliau sudah mengarahkan siasatan dilancarkan berhubung tragedi itu.
“Pasukan kecemasan sedang bertungkus lumus melakukan operasi SAR di lokasi bagi menyelamatkan mangsa terperangkap bawah runtuhan itu,” kata jurucakap beliau, Gbenga Omotoso, dalam satu kenyataan.
Pesuruhjaya Polis Lagos, Hakeem Olusegun Odumosu pula menjelaskan masih terlalu awal untuk menyatakan punca kejadian. – AFP
