Tujuh maut, rumah orang tua terbakar

BEIJING, 4 Jan – Tujuh orang meninggal dunia dalam kebakaran di rumah orang-orang tua, hari ini di China, di mana pusat penjagaan orang tua menjadi isu besar ketika penguatkuasaan standard keselamatan sering diabaikan.

Kebakaran meletus di rumah orang-orang tua milik persendirian di wilayah timur laut Jilin sekitar jam 4 pagi, menurut agensi berita rasmi Xinhua.

Kebakaran itu berjaya dipadamkan dalam masa 20 minit namun tujuh orang terkorban, sementara 32 penghuninya yang lain telah diselamatkan, katanya. Punca kebakaran masih lagi disiasat.

Sejumlah 338,000 kes kebakaran yang meragut 1,742 jiwa telah dilaporkan di China pada tahun 2015, menurut statistik kerajaan. – AFP