LVIV, UKRAINE, 18 APRIL – Beberapa siri serangan Rusia ke atas infrastruktur tentera di Lviv hari ini membunuh beberapa orang dan mencetuskan kebakaran di barat bandar Ukraine.
Seorang penduduk Lviv memberitahu AFP mereka melihat kepulan asap tebal naik daripada bangunan perumahan dan siren serangan udara kedengaran di seluru bandar semasa dan selepas serangan.
“Buat masa sekarang, kami boleh mengesahkan tujuh orang telah terkorban. Kami juga tahu 11 orang cedera, antaranya seorang kanak-kanak,” kata gabenor serantau Lviv Maksym Kozytsky dalam laporan terkini mengenai serangan di media sosial.
“Tiga mangsa berada dalam keadaan kritikal,” tambahnya.
Menurutnya, empat peluru berpandu Rusia, yang pada mulanya dilaporkan telah meragut enam nyawa, telah menyasarkan infrastruktur tentera Ukraine dan sebuah pusat tayar kereta juga telah diserang.
“Fasiliti rosak teruk,” kata Kozytsky dalam hantaran awal, menambah sebuah gudang terbiar juga telah diserang.
Serangan hari ini berlaku ketika Rusia menambah serangan di sekitar ibu negara Kyiv, menyasarkan beberapa fasiliti yang mengeluarkan perkakasan tentera.
“Lima peluru berpandu menyerang serentak di infrastruktur awam bandar lama Eropah Lviv,” tulis pembantu presiden Ukraine Mykhaylo Podolyak di Twitter.
Ketua sistem kereta api Ukraine Alexander Kamyshin berkata di media sosial bahawa beberapa infrastruktur bandar telah rosak teruk dan mungkin berlakunya penangguhan kepada perkhidmatan, tetapi tidak ada laporan penumpang atau kakitangan yang cedera. – AFP
