Saturday, April 19, 2025
31.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tujuh negara nyata minat jadi tuan rumah Sukan Komanwel

    LONDON, 16 APRIL – Tujuh negara menyatakan minat untuk menjadi tuan rumah Sukan Komanwel pada masa hadapan, lapor PA Media/dpa.

    Lima negara membida untuk menjadi tuan rumah edisi ke-100 Sukan Komanwel pada 2030, manakala dua lagi sedang mempertimbangkan untuk menganjurkan edisi selepas tahun itu, menurut kenyataan Commonwealth Sport.

    Minat itu datang dari negara-negara di Afrika, Amerika, Asia dan Oceania, sekali gus memberi isyarat bahawa penganjuran Sukan Komanwel 2026 oleh Glasgow berkemungkinan menjadi satu-satunya penganjuran oleh United Kingdom (UK) dalam tempoh lebih sedekad, memandangkan Britain menjadi tuan rumah dua daripada tiga edisi terdahulu.

    Tujuh bidaan itu memberi suntikan semangat kepada gerakan Sukan Komanwel, yang sebelum ini berdepan cabaran selepas negeri Victoria di Australia menarik diri sebagai tuan rumah edisi 2026.

    Kanada, India dan Nigeria antara lima pihak yang berminat menganjurkan edisi 2030, manakala New Zealand menyasarkan edisi 2034. Commonwealth Sport tidak mendedahkan negara mana yang membida bagi edisi selepas 2030.

    Semua bidaan adalah individu dan bukan melibatkan kerjasama antara beberapa negara.
    Keputusan sama ada beberapa bandar raya dalam satu negara akan menjadi tuan rumah bersama akan dibuat selepas perbincangan lanjut antara delegasi pembida dan Commonwealth Sport.

    Sukan teras seperti olahraga dan renang wajib dimasukkan dalam program, namun tuan rumah akan diberi lebih fleksibiliti dalam pemilihan sukan lain, dengan jumlah optimum sekitar 15 acara. – Bernama

    GAMBAR IHSAN COMMONWEALTH SPORT
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda