Sabtu, 22 November 2025
28.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tujuh orang hilang selepas letupan gudang bunga api di California

    LOS ANGELES, 3 JULAI – Tujuh orang masih dilaporkan hilang di California hari ini, sehari selepas letupan di sebuah gudang bunga api mencederakan dua individu dan mencetuskan kebakaran besar, menurut pihak berkuasa.

    Letupan itu berlaku pada petang Selasa selepas kebakaran tercetus di sebuah gudang yang terletak di pekan Esparto, di bahagian utara negeri berkenaan.

    “Tujuh individu masih belum dapat dikesan,” kata agensi bomba negeri California dalam satu kenyataan.

    Tambah mereka, “Pasukan penyelamat dan penyiasat sedang bekerjasama rapat dengan pemilik premis untuk mengesan keberadaan mangsa-mangsa tersebut.”

    Dua mangsa yang cedera telah berjaya dikesan dan kini berada dalam keadaan selamat, menurut pihak berkuasa.

    Bagaimanapun, anggota bomba masih belum dapat memasuki gudang kerana bahan bunga api yang tersimpan di dalamnya berisiko meletup semula.

    Ketua Bomba Esparto, Curtis Lawrence, menyifatkan situasi itu sebagai “sangat kompleks dan berisiko tinggi.”

    “Terdapat laporan mengenai serpihan besar bertaburan di kawasan yang luas,” katanya semasa sidang media.

    Tindakan berhati-hati pihak berkuasa ini telah menimbulkan kemarahan dalam kalangan ahli keluarga mangsa.

    Seorang wanita bertindak menyampuk sidang media itu sambil meluahkan kekecewaan kerana tidak mendapat sebarang maklumat mengenai teman lelakinya dan dua iparnya yang termasuk dalam senarai orang hilang.

    Beliau menuduh pasukan bomba tidak “memberikan tumpuan kepada individu yang terperangkap di dalam gudang, mungkin telah meninggal dunia.”

    Berikutan kejadian itu, beberapa bandar berdekatan mengumumkan pembatalan pertunjukan bunga api yang dijadualkan esok, sempena sambutan Hari Kemerdekaan Amerika Syarikat. – AFP

    Asap dan api menjulang semasa letupan gudang bunga api berhampiran Esparto, California, pada 1 Julai. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda