MOSCOW, 8 Mei – Tujuh pendaki dilaporkan hilang dan dikhuatiri maut selepas insiden runtuhan salji di pergunungan Altai, Russia, kata pegawai kecemasan hari ini tatkala usaha mencari sudah dikerahkan ke lokasi kejadian.
Isnin lalu, sembilan pendaki didapati terperangkap dalam runtuhan salji di pergunungan Chuya Alps di republik Altai di selatan Siberia yang berdekatan dengan Kazakhstan dan China.
“Dua orang berjaya menyelamatkan diri,” kata ketua perkhidmatan kecemasan di Altai, Andrei Burlakov.
“Sejak runtuhan semakin besar, operasi mencari dan menyelamat diperluaskan untuk tempoh yang tidak terhad,” katanya.
Jurulatih pendaki mereka, Vladimir Yudin memberitahu akhbar dalam talian, BFM bahawa pendaki terbabit adalah individu yang berpengalaman luas kerana menyusuri laluan sukar di pergunungan terbabit yang sudah diluluskan oleh pihak berkuasa, menambah bahawa pencarian komprehensif mungkin terpaksa dilakukan pada musim panas.
Menurutnya lagi, para pendaki adalah sebahagian daripada kumpulan yang berpangkalan di bandar Novosibirsk, Siberia. – AFP