Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tujuh penerima biasiswa JPMC dirai

    Oleh Salawati Haji Yahya – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 2 OGOS – Untuk meraikan tahun kedua pemberian anugerah kepada individu cemerlang yang telah menunjukkan komitmen bagi memajukan kerjaya mereka dalam penjagaan kesihatan melalui Program Biasiswa Jerudong Park Medical Centre (JPMC), tujuh orang penerima telah diraikan dalam Majlis Penandatanganan Program Biasiswa JPMC di Pantai Jerudong Specialist Centre (PJSC), hari ini.

    Menurut kenyataan yang diteima dari JPMC, hadir selaku tetamu kehormat bagi menyaksikan penandatanganan tersebut ialah Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar, atas kapasiti beliau sebagai Pengerusi dan Pengarah Eksekutif JPMC, bersama-sama ahli lembaga pengarah yang lain.

    Dengan tema Membina Tenaga Kerja Masa Depan dalam Bidang Penjagaan Kesihatan, majlis itu menandakan pencapaian besar dengan pelancaran Program Elit JPMC, yang mana ianya direka khusus bagi menyokong pertumbuhan profesional pekerja melalui pendidikan berterusan di Kolej Sains Kesihatan JPMC (JCHS).

    Program Elit JPMC yang baharu itu adalah tambahan kepada Program Biasiswa JPMC yang diperkenalkan pada tahun lalu, yang memberi tumpuan khusus kepada pelajar yang menunjukkan potensi serta pencapaian akademik yang cemerlang dalam bidang kesihatan.

    Terdahulu semasa majlis penandatanganan tersebut, Ketua Pegawai Kewangan yang juga Pemangku Ketua Pegawai Operasi, Bun Pei Ling dalam ucapan alu-aluannya antara lain menekankan bahawa program biasiswa tersebut mencerminkan komitmen JPMC dalam melabur serta memupuk tenaga kerja masa depan dalam bidang penjagaan kesihatan.

    Katanya lagi, “Dengan menyediakan peluang untuk pendidikan lanjutan dan pembangunan profesional yang berterusan, JPMC juga berhasrat membina pasukan profesional kesihatan yang kompeten dan berkemahiran tinggi.”

    Penerima biasiswa itu akan memulakan pengajian pada Ogos ini di JCHS, di mana dua penerima akan menjalani Pensijilan Asas Sains, sementara lima penerima lagi akan mengikuti Ijazah Sarjana Muda Sains dalam Kejururawatan.

    Dengan penubuhan dua program biasiswa berkenaan, JPMC menyatakan dedikasinya dalam menyokong wawasan 2035 Brunei melalui penekanan kepada pembangunan bakat yang sedia ada dan akan datang, demi meningkatkan kualiti hidup di negara ini.

    Inisiatif tersebut juga mencerminkan visi jangka panjang organisasi untuk memastikan tenaga kerjanya dilengkapi dengan pengetahuan serta kemahiran terkini dalam memberikan standard penjagaan kesihatan yang tertinggi kepada setiap pesakit.

    ATAS & BAWAH : Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bergambar ramai bersama penerima biasiswa pada majlis penandatanganan yang diadakan di PJSC kelmarin. – GAMBAR OLEH JAMES KON
    GAMBAR OLEH JAMES KON
    Bun Pei Ling semasa menyampaikan ucapan alu-aluan pada majlis tersebut. – GAMBAR OLEH JAMES KON

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda