Oleh Ampuan Irma Susanti Ampuan Hussain
TEMBURONG, 30 Ogos – Seramai tujuh peserta menyertai Peraduan Syarahan Melayu Islam Beraja (MIB) sempena Sambutan Jubli Emas Pemerintahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-50 tahun Menaiki Takhta bagi peringkat Daerah Temburong di Dewan Belalong, Kompleks Dewan Kemasyarakatan Daerah Temburong, di sini.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis dan seterusnya menyampaikan hadiah dan sijil kepada para peserta ialah Pemangku Penolong Pegawai Daerah Temburong, Haji Mohd Azmi bin Haji Suhaili. Turut hadir ialah Ketua Pegawai Ugama Daerah Temburong, Haji Jamil bin Haji Ghani, pegawai-pegawai kanan serta pegawai dan kakitangan Pusat Dakwah Islamiah dan Unit Dakwah Daerah Temburong. Tema peraduan kali ini adalah ‘MIB Teras Keteguhan Negara’.
Sebanyak tiga kategori telah dipertandingkan iaitu kategori ‘A’ bagi peserta yang berumur 17 hingga 25 tahun dari institusi pengajian tinggi, kategori ‘B’ bagi mereka yang berumur 12 hingga 20 tahun daripada kalangan pelajar IBTE/sekolah menengah dan Kategori ‘C’ bagi orang awam yang berumur 25 tahun ke atas.
Pada pertandingan tersebut, seramai dua peserta terbaik bagi setiap kategori akan dipilih untuk mewakili daerah ini ke pertandingan peringkat negara yang akan diadakan pada bulan September ini nanti.

Bagi kategori ‘A’ johan disandang oleh Dayang Nawal Adibah binti Rosli, kategori ‘B’ dimenangi oleh Dayang Syamimie Syazwani binti Abdullah Norsham, sementara itu tempat kedua dimenangi oleh Awangku Mohd Norazim bin Pengiran Ajak. Manakala dalam kategori ‘C’ pula johan disandang oleh Awang Abdul Hamid bin Aji dan di tempat kedua dimenangi oleh Haji Asri bin Haji Timbang.
Syarahan MIB merupakan salah satu wadah untuk menyampaikan maklumat mengenai MIB kepada orang ramai sebagaimana pengisytiharannya sebagai falsafah Negara Brunei Darussalam pada 1 Januari 1984.
Adapun tujuan MIB dijadikan falsafah negara ialah untuk terus memupuk, memelihara dan mengekalkan identiti bangsa, pegangan beragama dan pemerintahan beraja bagi negara ini, sekaligus dapat membawa kepada ketenteraman, keselamatan, kebajikan dan kebahagiaan rakyat.