Saturday, July 26, 2025
34.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tujuh rumah musnah dalam kebakaran di Sibu

    SIBU, 25 JULAI – Sebanyak tujuh buah rumah telah musnah di Kampung Hilir pagi tadi menjadikannya insiden kebakaran kedua di kawasan itu dalam tempoh 10 bulan.

    Ketua Zon 4 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Andy Alie berkata pihaknya telah menerima panggilan kecemasan mengenai kebakaran itu pada jam 8:13 pagi sebelum pasukan keluaran operasi (PKO) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sibu Sentral, BBP Sungai Merah dan BBP Sibu Jaya dengan kekuatan 25 anggota digerakkan ke lokasi kejadian.

    “Dalam kejadian tersebut, sebanyak lima rumah jenis tidak kekal termasuk sebuah rumah yang tidak berpenghuni musnah 100 peratus. Dua lagi rumah turut terbakar pada tahap 20 peratus manakala enam rumah berhampiran berjaya diselamatkan,” katanya.

    Menurut Andy, seramai 66 penduduk telah berjaya diselamatkan dan kebakaran itu turut berjaya dikawal sepenuhnya daripada merebak ke rumah lain sekitar jam 9:10 pagi. 

    Operasi pemadaman ditamatkan pada 12 tengah hari namun punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

    Pada September tahun lepas, 15 rumah berhampiran lokasi kejadian hari ini turut musnah dalam kebakaran di kampung sama dan menyebabkan 150 penduduk hilang tempat tinggal. – Bernama

    – UNSPLASH
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda