Saturday, February 8, 2025
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tuk-tuk elektrik bantu lindungi alam sekitar Sudan

    KHARTOUM – Usahawan Sudan, Mohamed Samir memerhati pekerjanya dengan bangga ketika mereka memasang beca berwarna terang, sesuatu yang unik di negara Afrika Utara kerana menggunakan tenaga elektrik dalam usaha untuk menangani kos yang melambung tinggi.

    Di Sudan, kenderaan tiga roda atau lebih dikenali sebagai beca tuk-tuk untuk penumpang dan basikal tiga roda dengan treler yang dipasang untuk membawa barang, telah lama menjadi pengangkutan yang popular dan mampu milik. Puluhan ribu orang melalui jalan-jalan di ibu kota Khartoum sahaja.

    Tetapi dengan keadaan Sudan yang dicengkam oleh krisis ekonomi yang teruk, diburukkan lagi oleh pergolakan politik berikutan rampasan kuasa tentera pada Oktober lalu, kos untuk enjin yang menggunakan minyak petrol telah melonjak.

    “Orang ramai yang menggunakan beca yang dikendalikan bahan api mengalami kesukaran dan mereka tahu nilai apa yang kami tawarkan,” kata jurutera Samir yang berusia 44 tahun di kilang di Khartoum Utara.

    “Kami ingin menawarkan jalan penyelesaian,” tambahnya.

    Seorang pekerja dilihat memegang panel suria untuk dipasangkan pada beca tersebut di kilang pembuatan tuk-tuk. – AFP
    Mohamed Samir semasa ditemu bual di kilang pembuatan tuk-tuk di daerah utara Khartoum-Bahri, ibu kota Sudan. – AFP

    Terdapat kesan alam sekitar yang kritikal juga.

    Kenderaan berkuasa petrol berasap, selain daripada mendorong kepada perubahan iklim, menyebabkan pencemaran bunyi dan udara yang ketara, menurut amaran dari Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dalam laporan dari 2020.

    “Pencemaran daripada kenderaan tiga roda menjejaskan penglihatan, menyebabkan kerosakan pada tumbuh-tumbuhan dan menyebabkan penyakit yang menjejaskan pernafasan pada manusia,” tambahnya.

    Samir berkata kenderaan elektrik baharu itu menepati tiga matlamat pembangunan mampan PBB iaitu memerangi kemiskinan, perlindungan kesihatan dan perlindungan alam sekitar.

    “Ia juga mengurangkan bunyi bising,” tambahnya.

    ‘Pendapatan harian meningkat dua kali ganda’

    Samir berdepan cabaran yang mencabar selama bertahun-tahun untuk membangunkan kilangnya, tetapi sebaik sahaja ia dibuka, perniagaan semakin rancak, menjual lebih 100 buah beca membawa barangan dan 12 beca penumpang sejak tahun lalu.

    Kos bahan api meningkat lebih daripada dua kali ganda sejak rampasan kuasa. Selain itu, kekurangan bahan api yang berulang menyebabkan pemandu beratur berjam-jam di luar stesen pengisian untuk menambah tangki mereka. Pemandu mengadu mengenai pendapatan kurang daripada yang mereka belanjakan.

    Itulah sebab utama penjual buah-buahan, Bakry Mohamed menjual tuk-tuk berkuasa petrol lamanya dan membeli basikal tiga roda berkuasa elektrik tahun lepas.

    “Dahulu harganya lebih mahal daripada yang dibawa masuk,” kata Mohamed, yang menggunakan kenderaannya untuk membawa gerai buah-buahan melalui jalan. “Selain itu, saya perlu bimbang tentang di mana untuk mencari bahan api, dan di mana untuk menukar minyak enjin.”

    Mohamed berasa bangga dengan basikal tiga roda elektrik miliknya yang baharu.

    “Ia sangat menjimatkan kos perbelanjaan,” kata Mohamed. “Kini tiada lagi perlu beratur untuk mendapatkan bahan api. Saya mengecasnya sekali, dan ia terus berjalan sepanjang minggu. Pendapatan harian saya meningkat dua kali ganda.

    Sesetengah pemandu bergelut apabila mereka mula beralih kepada kenderaan elektrik tetapi Samir berkata tiada aduan utama dan bateri elektrik memerlukan penyelenggaraan yang kurang daripada enjin yang dikendalikan oleh bahan api.

    “Ia baru, dan mereka tidak biasa dengan kenderaan elektrik,” katanya.

    Kuasa sinaran matahari

    Kenderaan tiga roda tersebut mengambil masa sekitar lapan jam untuk dicas sepenuhnya, dengan basikal tuk-tuk mampu menempuh jarak 80 hingga 100 kilometer, manakala jarak beca lebih jauh lagi, antara 100 dan 120 kilometer.

    Tetapi di tengah-tengah krisis ekonomi, bekalan elektrik Sudan juga terjejas dengan bekalan elektrik kerap terputus. Pada Januari lalu, kerajaan menaikkan harga elektrik, dengan isi rumah melihat peningkatan sekitar 500 peratus dalam bil.

    Namun Samir berkata beca elektrik tersebut lebih efisien dan jauh lebih murah berbanding alternatif lain.

    “Kos mengecas bateri kekal kurang daripada bahan api,” kata Samir, dengan satu cas elektrik berharga kurang daripada setengah liter bahan api.

    Amjad Hamdan Hameidan, yang membeli beberapa beca berkuasa elektrik, memandu kenderaan tiga rodanya semasa dalam perjalanan.

    “Saya menggunakan panel suria yang fleksibel,” kata Hameidan. “Kami meletakkannya di atas beca semasa memandu dan ia memastikan bateri dicas.”

    Samir mendakwa kilangnya membantu Sudan bersaing dalam dunia yang pesat membangun.

    “Lambat laun semua yang dikendalikan oleh bahan api akan digantikan dengan elektrik,” kata Samir. “Kami mempunyai peluang sekarang untuk bersaing dengan seluruh dunia.” – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda