Sunday, September 8, 2024
28.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tukang ayan Ireland kenang kehidupan silam

    DUBLIN – Memanaskan badan bersebelahan dapur kayu dan mengenangkan masa lampau, James Collins sering bekerja sehingga larut malam menghasilkan seni pertukangan timah, dengan ketukan tukul dapat kedengaran sekali-sekala.

    Collins, 73, adalah salah seorang tukang ayan kembara terakhir yang masih tinggal di Ireland, seni ketukangan tradisional yang diturunkan dari generasi ke generasi yang kini telah lenyap.

    “Bapa saya melakukannya dan datuk saya melakukannya,” beritahu Collins kepada AFP di bengkel Dublin.

    “Terdapat beratus-ratus tukang ayan kembara. Hampir setiap penduduk nomad adalah tukang ayan. Hanya terdapat dua tukang ayan yang tinggal sekarang.”

    Collins membesar dalam budaya nomad yang diamalkan oleh etnik minoriti kembara Ireland yang telah pun wujud sejak turun-temurun.

    James Collins bekerja di bengkelnya di Finglas, Dublin di mana dia membuat cawan timah dan tembaga. – AFP

    James Collins bergambar di bengkelnya di Finglas. – AFP
    Cawan dan periuk timah dan tembaga dipamerkan di bengkel James Collins. – AFP

    Dia lahir dalam sebuah khemah di tepi jalan di bahagian tengah Ireland pada 1949.
    Pada masa amat sukar walaupun untuk komuniti tetap Ireland, Collins tinggal bersama keluarganya di tepi jalan sehingga umurnya mencecah pertengahan 20an.

    Dia belajar pertukangan ayan daripada bapanya apabila berusia 14 tahun, menukarkan baldi, koleh dan periuk masak atau belanga yang ditempanya dengan makanan.

    Keluarga itu juga menawarkan pekerjaan sambilan, bekerja di lokasi yang sama mengikut musim.

    “Kehidupan adalah baik walaupun sukar. Awda akan membenci musim sejuk dengan cuaca dingin, fros dan salji lebat.

    “Namun awda tidak akan mengendahkannya kerana awda membesar bersamanya,” kata Collins.

    Collins menetap di tempat baharu pada 1970, berpindah ke skim perumahan kembara di Avila Park di barat laut Dublin di mana dia mendirikan rumah tangga dan mempunyai keluarganya sendiri.

    Kebanyakan suku nomad yang tinggal di Republik Ireland kini menetap di lokasi tetap, menurut penyelidikan Kesatuan Eropah.

    Mereka yang tidak berpindah-randah cenderung berbuat demikian pada musim panas.
    Apabila dia tiba, Collins berkata beberapa rumah di estet dikelilingi ladang besar.

    Kini skim itu terdiri daripada empat jalan dan dikelilingi tembok dan pagar kawat duri.

    Perpindahan itu memberikan anak-anak Collins peluang untuk belajar membaca dan menulis dan mempunyai pendidikan formal yang tidak pernah diterimanya.

    Pada tahun 1970, produk timah yang dihasilkan Collins diganti dengan plastik dan apa yang diperoleh daripada kerja berkenaan beransur-ansur lenyap.

    “Saya mempunyai lima anak lelaki dan tidak ada seorang pun di antara mereka yang berminat dalam seni pertukangan ayan disebabkan ia tidak menawarkan pendapatan lumayan,” katanya.

    Sendirian di bengkel bersama alat antik bapanya, tukang ayan itu berkata seni itu kini lebih merupakan satu hobi dan dia terkenangkan masa lampau sebagai lebih seronok dan menggembirakan.

    “Tidak adanya sehari yang berlalu tanpa kenangan manis. Kerana awda mengenali ramai orang dan mereka juga mengenali awda,” ujar Collins.

    “Kami selalu berkumpul di luar pagar mereka dan tidak timbulnya sebarang masalah atau pertengkaran.”

    Namun diskriminasi terhadap penduduk nomad dan perselisihan dengan komuniti tetap sudah wujud beberapa abad lalu di Ireland, menurut anak saudara Collins, Martin Collins, yang bekerja sebagai Pengarah Pavee Point Traveller dan Pusat Roma.

    “Sudah diketahui umum orang nomad masih menjadi salah satu kumpulan paling dianiayai dalam masyarakat Ireland,” jelasnya.

    Menurut data bancian, terdapat 30,987 orang nomad di Ireland pada 2016 yang mewakili 0.7 peratus daripada populasi umum.

    Namun meskipun menerima pengiktirafan sebagai minoriti etnik berlainan sejak 2017, orang nomad masih berdepan halangan dalam hampir setiap aspek kehidupan mereka.

    “Orang nomad mengalami diskriminasi dan rasisme dalam sistem pendidikan apabila menilai pekerjaan dan menilai penginapan, penjagaan kesihatan dan sokongan,” kata Martin Collins.

    Penyelidikan Kesatuan Eropah pada 2019 menunjukkan orang nomad di Ireland mengalami diskriminasi paling teruk berbanding mana-mana kumpulan minoriti di blok itu.

    Martin Collins berkata sementara retorik kerajaan adalah untuk pluralisme atau kemajmukan, masih timbulnya ‘implikasi apabila ia membabitkan orang nomad yang mentakrifkan mereka sebagai tidak bertamadun.’

    Cabaran yang berdepan komuniti telah pun diberi penekanan dalam beberapa tahun ini berdasarkan krisis kesihatan mental yang semakin meningkat.

    Laporan parlimen Ireland pada 2021 menunjukkan kes bunuh diri menyumbang kepada 11 peratus daripada kematian orang nomad – tujuh kali lebih tinggi untuk lelaki nomad dan enam kali lebih tinggi untuk wanita nomad berbanding populasi umum.

    Geraldine McDonnell, pekerja kesihatan mental dengan Pavee Point, berkata kematian menjejaskan setiap komuniti nomad.

    “Malangnya, kami melihat ramai keluarga akan mengalami kes bunuh diri dalam keluarga itu sendiri.”

    Pavee Point telah melancarkan perkhidmatan dalam talian untuk memberi nasihat kesihatan mental khas untuk orang nomad, terutamanya kanak-kanak.

    Namun Martin Collins berkata diskriminasi merupakan punca krisis.

    “Jika awda mendengar sejak dari lahir hingga ke liang lahad bahawa awda tidak mempunyai harga diri..awda lebih rendah kedudukan berbanding penduduk tetap, maka adalah tidak mengejutkan ramai orang nomad akan mempercayainya,” katanya.

    “Kami perlu mewujudkan keadaan di mana orang nomad boleh berasa bangga dan yakin dengan identiti nomad mereka.” – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda