BANDAR SERI BEGAWAN, 13 JULAI – Mahkamah Majistret hari ini menjatuhkan hukuman penjara kepada dua orang warga tempatan atas kesalahan melakukan beberapa siri kecurian semasa bertugas di wad dan bilik Hospital Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah.
Mohammad Amzar bin Mohammad Azhar, 30, dijatuhi hukuman penjara 36 bulan, manakala Muhammad Faiz Syazwan bin Abdullah, 21, dijatuhi hukuman penjara 48 bulan.
Majistret Kanan Hajah Ervy Sufitriana binti Haji Abdul Rahman mendengar daripada Pendakwa Nurulatikah binti Haji Husaini bahawa kedua-dua mereka bekerja sebagai tukang bersih di bawah kontraktor yang ditempatkan ke hospital berkenaan.
Pendakwa raya mendedahkan bahawa mereka telah mencuri lapan buah unit televisyen LCD 32 inci dari pelbagai wad dan bilik di hospital pada hari yang berbeza antara Mei dan Jun.
Defendan membongkar set-set televisyen dari setiap wad dan bilik, yang kosong pada masa itu dan membawanya ke kereta mereka.
Mereka kemudian menjual setiap set televisyen itu dengan harga $50 kepada pembeli. Set televisyen se-tiap satu berharga di bawah $400.
Kecurian berlarutan sehingga seorang pengawal keselamatan datang bekerja pada 19 Jun dan mendapati set-set televisyen itu telah hilang. Ini menyebabkan laporan polis dibuat.
Semasa siasatan sedang dijalankan, kedua-duanya kembali melakukan curi sekali lagi.
Pada 20 Jun, kedua-duanya meronda di kawasan perumahan kerajaan di Tutong di mana mereka mendapatkan beberapa biji kelapa dari sebatang pokok untuk diminum.
Ketika sedang menikmati minuman, mereka menyedari bahawa rumah di hadapan mereka kelihatan tidak berpenghuni lalu meninggalkan tapak itu dan merancang untuk kembali mencuri dari rumah itu tiga hari kemudian.
Kedua-duanya pergi ke rumah itu seperti yang dirancang dan mencuri barangan termasuk barangan rumah, penyaman udara, gajet dan alatan lain. Mereka kemudian meninggalkan rumah itu dengan barang curi bernilai hampir $3,000 dan menjual beberapa barangan.
Pada 25 Jun, pemilik rumah kembali dan mendapati rumahnya telah dipecah masuk dan menyedari barang-barangnya telah hilang. Pemilik rumah memfailkan laporan polis, dan kedua-dua siasatan kes membawa kepada penahanan kedua-duanya.
Mahkamah menjatuhkan hukuman itu dengan mengambil kira keadaan kes yang lebih teruk, termasuk fakta bahawa defendan bekerja sebagai tukang bersih dan mempunyai akses ke pelbagai wad dan bilik hospital.
Kebanyakan barang curi ditemui semula manakala selebihnya tidak ditemui.


