HAJJAH – Di kawasan bandar yang hampir musnah disebabkan peperangan, seorang tukang besi Yaman sedang melakukan transformasi bekas-bekas serpihan peluru dan bom yang telah dibuang di lereng-lereng bangunan di kawasan bandar itu menjadi pisau belati tradisional.
Selama 45 tahun, seorang tukang besi, Mohammed Haradhi telah bergiat aktif bertukang membuat pisau untuk klien yang ingin memberikan pisau itu kepada insan yang dicintainya dan dicipta mengikut cita rasanya.
Tetapi selepas sahaja tiga tahun berlakunya peperangan, dia dan beberapa orang tukang Yaman yang lain menghadapi kesukaran untuk mendapat tempahan untuk membuat sebarang tugasan.
Transformasi
Untuk beberapa ketika, Haradhi telah melakukan transformasi dengan menjadikan serpihan konflik di Hajjah, di Barat Yaman kepada bentuk logam bagi membuat senjata tradisional negara itu yang dinamakan sebagai ‘Jambiyya’.
Pisau belati yang diukir ini dipakai oleh kebanyakan lelaki Yaman serta menjadi perhiasan yang digantung di tali pinggang yang sudah disulam cantik.


Khazanah warisan ini sering dijadikan hadiah kepada anak-anak lelaki semasa menyambut ulang tahun mereka sekali gus mengukuhkan lagi hubungan keluarga mereka.
Dengan bahan-bahan keluli yang semakin sukar untuk diperolehi, Haradhi berkata bahawa serpihan-serpihan bom dan peluru itu merupakan logam murah namun berkualiti tinggi untuk membuat pisau belati.
“Keperluan itu umpama ibu kepada inovasi,” kata Haradhi semasa berada di bengkelnya, sambil memukul besi yang masih merah selepas dikeluarkan dari bara api.
Serpihan-serpihan itu banyak berselerakan di Hijjah dan telah menyaksikan operasi ketenteraan yang kronik di mana usaha mereka untuk menewaskan pemberontak dari kawasan tersebut.
Bandar ini dikawal oleh para pemberontak Huthi, di mana sejak tahun 2015 telah menentang pakatan negara-negara Arab yang diketuai oleh Arab Saudi untuk membebaskan negara Yaman.
Bagi memperingati peperangan
Peperangan yang berlaku di negara itu telah membunuh hampir 10,000 penduduk Yaman dan menyebabkan negara itu ke arah situasi kebuluran. Kawasan pelabuhan di negara itu telah ditawan dan menghalang bantuan kemanusiaan serta bekalan-bekalan lain, termasuk keluli dari memasuki negara itu.
Namun konflik itu masih belum dapat menamatkan petukang-petukang negara tersebut yang sudah ada sejak berabad-abad lamanya, sekali gus menjadikan Yaman terkenal sebagai sebuah negara yang kaya dengan khazanah tenunan kain dan kemahiran pembuat besi khususnya di tanah Arab.
Diwarisi turun temurun
Cara pembuatan jambiyya telah diturunkan dari generasi ke generasi.
Pisau belati mempunyai standardnya tersendiri, paling rendah adalah yang diperbuat dari China hingga pisau belati yang diukir dari tanduk badak, sarung berlapikkan berlian, dianggarkan bernilai hampir AS$1 juta.
Pisau belati yang diperbuat daripada serpihan terbuang itu, akan dijual sehingga 20,000 riyal Yaman ($79,68 euro). “Kami mengambil serpihan-serpihan di tempat-tempat kejadian dan ada kalanya membelinya dengan nilai kilogram,” kata Yahya Hussein, tukang besi yang lain di Hajjah.
Walaupun konflik berterusan, penduduk berkata permintaan terhadap pisau itu adalah sangat tinggi. “Ada yang membeli jambiyya yang diperbuat daripada serpihan dan memakainya,” kata seorang penduduk Hajjah kepada AFP.
“Tetapi ada yang membelinya sebagai kenang-kenangan, atau hanya untuk memperingati kembali peperangan,” tambahnya. – AFP