HOFUF – Kedai tukang jahit Arab Saudi, Habib Mohammed, dahulunya menghasilkan jubah berhias tenunan tangan untuk golongan diraja – satu kemahiran turun-temurun yang kini berdepan ancaman daripada lambakan pakaian siap pakai di pasaran.
Namun, Habib berazam mempertahankan warisan seni jahitan jubah itu walaupun perniagaannya semakin terjejas.
Beliau membuat bisht, sejenis jubah panjang yang selama berabad-abad menjadi lambang status dan kebesaran – dipakai oleh raja, putera mahkota dan juga orang kebanyakan – dan kerja-kerja yang teliti boleh mengambil masa seminggu.
Kini, dengan kemasukan jubah murah buatan China, tukang jahit berusia 60 tahun itu bergelut untuk mendapatkan keuntungan dan satu-satunya anak lelakinya enggan meneruskan perniagaan keluarga tersebut.
Namun begitu, Habib enggan membiarkan kemahiran lama itu pupus dan terus berusaha menurunkan ilmu kepada generasi muda.
“Kami sudah memulakan latihan di kedai dan di rumah,” katanya di bengkel kecil tanpa tingkap di bandar oasis Hofuf, sambil dikelilingi bisht yang tergantung di dinding.
“Saya mengajar cucu-cucu saya – sama ada perempuan mahupun lelaki.”
Di wilayah asalnya, Al-Ahsa, Habib berkata suatu ketika dahulu, ‘adalah memalukan bagi seorang lelaki untuk menghadiri majlis pengebumian, pasar atau menziarahi sesiapa sahaja tanpa memakai bisht.’
Jubah bisht menjadi perhatian dunia pada tahun 2022 apabila Emir Qatar menyarungkannya ke tubuh bintang bola sepak Lionel Messi selepas perlawanan akhir Piala Dunia.
Meskipun lelaki Arab di negara Teluk kadangkala masih mengenakan pakaian tradisional dalam majlis rasmi, pakaian siap dari kilang telah mengambil alih peranan tukang jahit di negara-negara kaya minyak tersebut.
‘KEMELESETAN JUBAH’
Di bengkelnya, Habib memerhati cucu perempuannya, Fajr (9 tahun), dan cucu lelakinya, Ghassan (10 tahun), sedang menyulam jubah halus dengan penuh khusyuk.
Bagi Habib yang mempelajari seni jahitan sejak usia lima tahun, ia adalah ‘seluruh hidup saya.’
“Saya lahir ke dunia ini… dengan hanya bisht di sekeliling saya,” kata Habib sambil mengenakan jubah putih thobe dan penutup kepala merah-putih – pakaian kebangsaan Arab Saudi.
“Saya dilahirkan dalam kedai jahit (milik ayah saya) dan membesar melihat ibu saya menjahit.
“Saya lihat abang-abang dan sepupu bekerja dengan ayah saya di kedai itu,” tambahnya dengan bangga.
Isterinya juga seorang penjahit bisht yang mahir menyulam bahagian kolar, katanya.
Namun kedainya yang sederhana di pasar artisan Hofuf kini merasai tekanan ekonomi.
“Sejenis kemelesetan telah melanda,” katanya.
Jika dahulu bisht berkualiti tinggi boleh dijual sehingga 6,000 riyal, jubah buatan mesin kini dijual pada harga yang jauh lebih murah, jelas Habib.
“Jubah yang dulu saya jual 1,500 riyal kini cuma 150 riyal. Ia tidak mencukupi untuk menyara hidup.”
‘TIDAK BERPUTUS ASA’
Habib tetap tidak berputus asa – dan dia bukan satu-satunya penjahit yang mengalami nasib yang sama.
Kebangkitan semula bisht kini mula berlaku di Arab Saudi, sejajar dengan usaha kerajaan membuka negara itu kepada pelancong dan pelabur asing.
Tahun lalu, kerajaan mengarahkan menteri dan pegawai kanan lain agar memakai bisht ketika masuk dan keluar dari tempat kerja atau menghadiri majlis rasmi.
Arab Saudi juga menamakan tahun 2025 sebagai Tahun Kraf Tangan, dengan rancangan untuk mempromosikan dan menyokong 10 seni kraf termasuk tenunan bisht.
Negara-negara Teluk turut berusaha mendaftarkan bisht sebagai Warisan Budaya Tidak Ketara UNESCO dalam usaha melindungi seni tersebut.
Beberapa bisht yang tergantung di bengkel Habib dipercayai berusia lebih 100 tahun, katanya sambil menunjukkan sepasang jubah coklat yang diperbuat daripada bulu biri-biri.
“Ada orang tawarkan saya 200,000 riyal untuk jubah ini, tapi saya tolak kerana ia amat berharga – umpama nyawa saya. Ia mewakili sejarah negara saya,” katanya.
“Saya mahu wariskan kepada anak dan cucu saya dan akan pesan kepada mereka agar tidak menjualnya,” ujar Habib sambil menunjuk ke arah jubah-jubah di dinding.
Habib turut mengajar kelas jahitan bisht setiap minggu di sebuah institut berhampiran, kebanyakannya dihadiri golongan muda.
“Kami tidak berputus asa,” katanya, sambil melatih generasi baharu ‘untuk menghidupkan semula warisan lama yang hampir lenyap.’
“Kami akan menghidupkannya kembali,” tegas Habib. – AFP