DI SEBUAH bandar di luar bandar raya Syria, Abu Suleiman membersihkan meja kerjanya dan menarik sarang lebah-lebah dari sebuah almari yang berhabuk setelah meninggalkannya selama beberapa tahun selepas konflik peperangan.
Sebelum berlakunya konflik selama tujuh tahun, kampung halamannya Saqba berdekatan dengan Damsyik, terkenal dengan kegiatan pertukangan kayu dan menghasilkan produk kayu yang berdaya tahan.
Tetapi Abu Suleiman terpaksa menutup bengkelnya itu selepas pemberontak menakluki bandar itu pada tahun 2012 yang dipenuhi dengan kejadian pengeboman dan penaklukan yang melemahkan.
Kalendar 2011 masih tergantung di dinding bengkel milik Suleiman. “Saya mula membuat set kelengkapan bilik tidur untuk anak saya yang berumur lapan tahun beberapa tahun lalu dan belum selesai menyiapkannya,” kata tukang kayu yang berumur 53 tahun itu sambil menarik sarang lebah-lebah dari sebuah almari yang dipenuhi dengan ukiran bunga kayu yang menarik.
“Saya masih menunggu anak saya itu kembali dan sama-sama menyiapkannya, justeru, saya boleh memberikan kepadanya set perabot tidur ini sebagai hadiah perkahwinannya,” jelas Suleiman kepada AFP.


Selepas sahaja berlakunya protes terhadap Presiden Bashar Al-Assad buat pertama kali pada tahun tersebut, Abu Suleiman mendorong anak lelakinya itu untuk melarikan diri sekiranya keadaan di bandar itu semakin teruk. Suleiman menuju ke negara Jerman, di mana dia tinggal dan bermastautin di situ.
Namun beberapa minggu yang lalu dia telah kembali ke negara itu dan menjenguk bengkelnya yang berdebu itu, selepas sahaja gerakan tentera negara itu berjaya menguasai kembali bandar Saqba pada bulan Mac lalu dan wilayah di timur Ghouta pada bulan seterusnya.
“Saya agak sedikit lega kerana dapat pulang semula dan melakukan kerja itu selepas lima tahun melakukan pekerjaan yang lain untuk bertahan dengan pengepungan yang dahsyat itu,” tambah Suleiman.
Pasukan rejim telah menguasai keseluruhan timur Ghouta pada tahun 2013, menjadikan penghantaran barang perabot agak sukar begitu juga isu mengenai kekurangan sumber makanan, perubatan dan kekurangan bahan bakar yang teruk.
Semasa musim sejuk, kebanyakan penduduk terpaksa membakar perabot-perabot mereka untuk memastikan keadaan rumah mereka sentiasa panas. Seorang tukang kayu, Abu Nader turut berkata bahawa ada juga dalam kalangan penduduk turut memecahkan perabot mereka untuk dijadikan sebagai rabuk dan menjualnya kepada orang ramai.
“Saya akan cuba menghalang setiap penduduk dari terus memecahkan perabot mereka dan meminta mereka untuk tidak melakukannya,” katanya. “Saya dapat rasakan kerja ini sudah sebati dan sebahagian daripada hati saya,” tambahnya.
Perdagangan masa depan
Pengepungan kota Ghouta merupakan salah satu episod berkonflik yang telah membunuh lebih daripada 350,000 penduduk awam dan menyebabkan jutaan penduduk melarikan diri. Tetapi pada hari ini, bengkel-bengkel di bandar Saqba telah bangkit semula.
Mesin gergaji elektrik para petukang kayu kembali aktif dan memuntahkan habuk papan dan mengeluarkan bunyi yang kuat sekali gus memecah suasana sunyi di lereng-lereng jalan.
Di kawasan pusat bandar, Yussef Al-Qabuni juga telah kembali bekerja di bengkel miliknya, memasang dan membuat pintu, tingkap dan kelengkapan perabot untuk memenuhi permintaan segelintir pelanggannya.
Ketika dia membuka secara perlahan pintu almarinya untuk memeriksa keadaannya, dia sangat gembira apabila mendapati kraf tangannya itu masih utuh. “Saya telah bekerja dalam perusahaan ini sejak berumur 10 tahun lagi,” kata lelaki yang berumur 50 tahun itu kepada media AFP.
Bandar Saqba sebelum ini terkenal sebagai pengeluar untuk penghasilan perabot kayu dan set kelengkapan bilik tidur sebelum konflik peperangan berlaku. Dianggarkan beratus-ratus perniagaan antarabangsa telah tertarik dengan kehalusan pertukangan kayu ini seperti Lubnan, Iraq, Jordan dan juga Cyprus.
Majoriti penduduk Saqba adalah petukang kayu, kata lelaki yang berumur 46 tahun itu.
“Dalam sebuah keluarga, pasti akan ada dua atau tiga daripada mereka yang arif bertukang kayu. Walaupun masih lagi jauh dan berdepan dengan pelbagai perbezaan, dia teruja untuk mengajar anak didiknya, Alaa yang berusia 16 tahun tentang bidang pertukangan tangan itu,” kata Obayd.
“Ini adalah perdagangan untuk masa depan dan semua orang mahu membina semula rumah mereka serta menetapkan bentuk dan jenis tingkap serta pintu mereka,” tambah Obayd. – AFP