BANGKOK, 28 OKT – Seorang tukang masak Thailand yang menjadi penjual makanan jalanan Bangkok pertama memperoleh bintang Michelin berkata dia merancang untuk bersara, mungkin seawal tahun depan.
Jay Fai menjadi terkenal di dunia pada 2018 apabila direktori panduan tentang makanan memberi pengiktirafan kepada restoran tepi jalannya yang sederhana dalam edisi Bangkok yang pertama.
Pelancong dari seluruh dunia menunggu dalam barisan selama tiga jam untuk mencuba telur dadar isi ketam legenda Jay Fai.
Wanita berusia 81 tahun itu memberitahu media Thai, Komchadluek bahawa kerja-kerja mencari dan memeriksa bahan setiap hari telah menjadi bebanan.
“Saya tidak akan meneruskan restoran itu, tetapi saya gembira untuk mengajar sesiapa yang mahukan resipi saya,” katanya dalam temu bual itu, yang videonya disiarkan dalam talian, kelmarin.
Menurutnya, dia belum memutuskan waktu yang sesuai untuk bersara, tetapi berkata berkemungkinan tahun depan.
Walaupun dikelaskan sebagai makanan jalanan, hidangan dari dapur terbuka di restoran eponim Jay Fai di Bangkok tidak murah seperti yang dijangkakan, di mana telur dadar isi ketam istimewa itu berharga sekitar AS$40. – AFP